Maklumat 1 Murid 1 Sukan untuk Si 'Tak-arif'

Eliminate ignorance with curiousity

Tag Archives: 1m1s

Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan di sekolah-sekolah

Pelik tapi benar.

Ada sekolah yang mentiadakan aktiviti 1 Murid 1 Sukan. Aktiviti kelab sukan dan permainan tidak termasuk dalam dasar 1M1S kah?

Ada juga perkhabaran yang pelajar-pelajar SPM dan pelajar PMR (sekaran PT3) tidak perlu turun mengikut aktiviti kelab sukan dan permainan sekolah.

Alasannya kerana kelas tambahan hingga ke pukul 4-5 petang. Ada juga saya maklum yang pelajar terus ke aktiviti kelab sukan dan permainan selepas kelas tambahan tamat, tetapi baki hanya 1 jam. Tukar baju, solat (Islam), turun padang, tidak hairanlah baki tinggal 30 minit. Merisaukan juga. kasihanlah pula kepada guru penasihat kelab sukan permainan yang bersungguh-sungguh menjalankan aktiviti. yang tak nak, tu kira selamatlah. Ada alasan batalkan aktiviti.

Apa yang lebih menarik ialah, ia memang polisi sekolah dan meletakkan aktiviti sukan bukan keutamaan. Inilah mengelirukan. Sama kah nasib dasar ini seperti PBS SR dan SM?

Persoalan saya ialah, apakah dasar 1M1S ini sudah dimansuhkan?

Permainan Frisbee dan Sukan Ultimate

Permainan frisbee boleh diperkenalkan di sekolah sebagai salah satu pilihan sukan untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Frisbee atau Ultimate Disc

Walau bagaimanapun, pihak KPM belum ada lagi menerbitkan apa-apa modul sukan Frisbee atau Ultimate sesuai dengan dasar 1M1S. Saya mengharapkan Bahagian Sukan akan berusaha menerbitkan sekurang-kurangnya panduan ringkas permainan sukan ini.

Berikut adalah link dalam Bahasa Indonesia. Klik untuk muatturun fail PDF.

Apa yang menarik tentang sukan ini ialah kesuaiannya dengan sekitaran sekolah. Ia boleh dimainkan dalam bangunan (indoor) mahupun luar bangunan (outdoor). Ia juga mempunyai pelbagai versi sukan yang telah dibangunkan oleh beberapa pihak. Sukan Ultimate adalah sukan atas padang yang mempunyai intensiti agak tinggi – pelajar berlari, melompat, melontar, mengejar, menangkap piring, dan melakukannya dengan penuh gaya.

Ia juga mempunyai beberapa versi sukan lain seperti Frisbee Golf, dan pelbagai lagi. Oleh itu, guru dan pelajar mempunyai banyak pilihan aktiviti mingguan atau aktiviti 1M1S yang terancang. Ia juga adalah murah. Setiap pelajar berkemampuan untuk memiliki ‘disc’ itu sendiri.

Berikut adalah link dari Wikipedia (Bahasa Inggeris) berkaitan Flying Disc, Frisbee atau Sukan Ultimate.

Ia boleh dimainkan oleh pelajar lelaki atau pelajar perempuan dan boleh juga bercampur kerana ia adalah ‘non-contact sport’. Ia menghampiri bola jaring dicampur dengan ragbi.

Sukan Ultimate semakin berkembang pesat di Malaysia. Di sekolah saya sendiri, kami telah menubuhkan kelab frisbee. Kami agak baru, dan selaku guru, memanglah tiada asas langsung. Tetapi saya pasti ia boleh dipelajari melalui media internet seperti video dari Youtube dan sebagainya. Mudah-mudahan tahun ini, Kelab Frisbee SMK Putatan berjaya merealisasikan semua aktiviti yang bakal kami rancang dan laksanakan.

Ini adalah video pelajar SMK Putatan sedang bermain Frisbee. Ia adalah siri pengenalan. Banyak lagi yang cikgu sukan/PJK perlu lakukan untuk melatih pelajar-pelajar itu bermain dengan cara yang betul dan lebih baik lagi. Video oleh Cikgu Nordin Khadis.

Berikut adalah video rujukan:

Pengenalan kepada sukan ultimate/frisbee ultimate (English only)

http://www.streamica.com/#v/qkuM4ah6mu0

— Gambar Bengkel Pengenalan Sukan Frisbee untuk Badan Pengawas SMK Putatan —

Jurulatih/Penunjukajar : Cikgu Nordin Khadis

Guru Penasihat Badan Pengawas SMKP/Penganjur Bengkel : Cikgu Rithuwan Nasir

Lagu Rasmi Satu Murid Satu Sukan

LIRIK LAGU RASMI 1MURID 1SUKAN

Mendukung cita-cita
Aspirasi negara
Membangun modal insan
Transformasi cemerlang

Sukan untuk semua
Untuk kecemerlangan
Jadikan satu budaya
Demi negaraku Malaysia

Chorus
Satu Murid Satu Sukan
sukan untuk semua
Satu Murid Satu Sukan
sukan untuk kecemerlangan
Satu Murid Satu Sukan
badan sihat otak cerdas
Satu Murid Satu Sukan

Majulah sukan
Untuk negara

Kecergasan jasmani
Sahsiah dan jati diri

Memupuk perpaduan
Gagasan Satu Malaysia

ulang Chorus 2 X

Berikut adalah Link untuk muatturun :

Link RASMI dari MOE (AMARAN! Fail besar berformat WAV) : Download Fail 1M1S.WAV di sini.

Link blog ini (Fail kecil berformat MP3) : Download LaguRasmi_1M1S_mp3.MP3 di sini (salinan tak rasmi).

Video tak rasmi dari Youtube, berserta dengan lirik

Koleksi Video Latihan Bola Jaring untuk Kanak-kanak dan remaja

Saya sedang cuba membantu diri sendiri dan rakan-rakan semua dengan menyenaraikan seberapa banyak video latihan bola jaring yang boleh diperoleh dari rangkaian youtube.

Video 1 – Netball Skills and Drills – Level 1 Ladder Drills

Video 2 – Netball Skills and Drills – Level 2 Ladder Drills

Video 3 – Netball Drill – Movement and Passing – The Square Level 1

 

Mungkin ada banyak lagi video rujukan. Anda dialu-alukan untuk mencadangkan link yang berkaitan. Kata kunci carian yang mungkin boleh digunakan, “YOUTUBE NETBALL TRAINING”

Komitmen guru kepada dasar Satu Murid Satu Sukan

Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) telah dilancarkan sejak 2010 sebagai tahun pengenalan dan sejak tahun 2011, pelaksanaannya menjadi wajib.

Persoalan pokok di sini, adakah ia dasar yang relevan kepada sekolah. Jawapannya ya, sudah pasti kerana ia dasar kementerian.

Persoalan lain adakah ia relevan kepada guru? Jawapannya tidak. Ia tidak relevan kepada guru. Ia adalah dasar khusus untuk murid sekolah. Dasar 1M1S merupakan satu usaha menggerakkan generasi muda negara supaya dapat bergerak aktif secara fizikal sambil memperoleh ilmu pengetahuan tentang sukan yang diceburi. Walau bagaimanapun, kejayaan perlaksanaan dasar 1M1S, memerlukan komitmen guru walaupun ia tidak relevan kepada individu guru itu. Buat sementara waktu, guru bukan berlatar belakangkan sukan (bukan guru opsyen PJK atau Sains Sukan) terpaksa diarahkan untuk melaksanakan dasar ini berlandaskan garis panduan yang ditentukan, bukannya berasaskan kemampuan sedia ada guru. Guru PJK dan guru Sains Sukan tidaklah seramai mana di sekolah-sekolah harian.

Jika guru tersebut tidak pernah dan tidak mengetahui sukan tertentu, beliau mesti, patut, tidak boleh tidak, bertanggungjawab menambah pengetahuan demi menjalankan tugas yang didasari oleh arahan peringkat atasan. Oleh itu soal dasar 1M1S mesti relevan secara langsung kepada individu guru tidak relevan juga. Atas dasar tugas rasmi, semua guru yang terbabit mesti menjalankan tugas TERMASUK menambah baik diri sendiri. Jika guru tersebut berdalih atau sengaja tidak bersungguh-sungguh, dikhuatiri beliau menjadi ‘duri dalam daging’ atau boleh juga dipanggil ‘sabotuer‘, sama ada beliau sedar atau tidak.

Murid tidak akan dapat menghayati dan menyempurnakan pengalaman hidup mereka dalam sukan pilihan kerana guru yang dipertanggungjawabkan tidak komited dan tidak bersungguh-sungguh atas alasan tidak munasabah. Mana mungkin kita guru menasihat murid supaya berani belajar subjek baru dan susah dan meneroka ilmu baru, pada masa yang sama kita sendiri bertindak tidak ikhlas dengan mengelak mendapatkan ilmu baru dan meneroka pengalaman baru pula. Bukankah itu ‘hipokrit’?

Apa-apapun artikel ini adalah wacana saya tanpa menyebut mana-mana individu secara khusus. Ia adalah juga satu muhasabah diri kerana saya juga kelompok guru bukan-sukan. Saya adalah guru yang meminati sukan bola sepak, badminton dan ragbi, tetapi pengalaman terbaik saya pernah perolehi hanyalah semasa di sekolah menengah dan di universiti. Di sekolah saya sempat mendapat peluang bermain ragbi walaupun badan kecil kurus. Bola sepak memang kerap bermain di kampung, dan di sekolah. Badminton? Pengalaman paling manis tetapi memalukan ialah ketika masih siswa di UPM. Saya, melalui pujukan rakan-rakan turut mendaftar sebagai peserta pertandingan badminton. Pusingan awal dah kalah, complete set! Sebabnya saya bukan pemain berkebolehan tinggi, sebaliknya hanyalah peminat.

Apa sumbangan pengalaman tersebut kepada saya sebagai guru 1M1S? NIL. Okaylah, mungkin setakat 10%, itupun dalam hal ada cerita untuk memujuk pelajar. Tapi tak semestinya berkesan. Bagaimana saya nak jalankan tugas sebagai guru 1M1S, menjadi jurulatih sukan bola sepak atau badminton atau ragbi? Nampaknya langkah-langkah berikut perlu saya lakukan seberapa segera yang boleh, iaitu:

1. Ikuti kursus kejurulatihan sukan yang saya pilih (atau sekolah tentukan) – BELUM

2. Cari buku bacaan berkaitan bagaimana melatih murid/pemain sukan tersebut – TIADA BUKU DIKEHENDAKI?

3. Dapatkan buku modul 1M1S yang disediakan kementerian – ADA melalui kursus tetapi isi kandungan tak cukup baik, dan tersalah cetak pula.

4. Dapatkan buku digital modul 1M1S yang disediakan kementerian – SUDAH ADA, tetapi bilangan muka surat yang banyak memerlukan bajet besar untuk mencetak kualiti boleh baca. Nak baca di laptop? Patutkah? Bukankah kita di padang. Cetak sedikit demi sedikit? Patutkan individu guru menampung kos cetakan buku tersebut dan dipancing dengan perkataan ‘pengorbanan’ (licik!).

5. Tak buat apa-apa langsung – MUSTAHIL, kerana saya guru komited kepada pelajar

6. Carian internet dalam bentuk video – CADANGAN TERBAIK SETAKAT INI! Memang video tak boleh bawa ke padang, tetapi sekurang-kurangnya melalui tontonan video memberi gambaran lebih jelas bagaimana nak buat aktiviti latihan sukan tersebut dan lakukannya semula di padang.

7. Beli Ipad atau tablet – ringan dan mobile. CADANGAN LAGI TERBAIK. Dengan syarat ada cukup wang, bolehlah beli tablet android + 3G. Boleh bawah tablet seperti Samsung Tab 10.1 atau Motorola Xoom 10.1 (android 3). bolehlah baca modul dalam format PDF dalam tablet dan juga boleh rujuk menonton video kejurulatihan terus melalui tablet tadi. Jadilah jurulatih serba boleh. Masalah? baca balik, kalau guru sendiri kurang faham, tunjukkan tablet tu kepada murid untuk mereka baca dan mungkin akan ada pelajar yang boleh bantu menjelaskannya. Takpun, ulang tayang video di youtube yang berkenaan lagi dan lagi dan lagi dan simulasikan atau tiru sahaja kaedah yang ditunjukkan di video tadi.

Akhir kata, saya bukan pandai, saya juga bukan buat-buat pandai. Artikel ini adalah pemikiran saya, muhasabah saya. Dalam Inggeris, ‘thinking loudly’ barangkali.

Jumpa lagi di dalam artikel akan datang.

Apa itu ‘Modified Games’?

Saya tertarik dengan perkataan ‘Modified Games’. Perkataan tersebut boleh dijumpai di muka surat 25, BUKU PANDUAN 1MURID 1SUKAN sebagai salah satu jenis sukan yang sesuai dengan dasar 1 Murid 1 Sukan. Pencarian internet membawa saya ke laman sesawang Institut Sukan Negara dan berikut adalah maklumat yang saya salin semula.

Pengenalan kepada sukan ubahsuai telah dilaksanakan bermula pada hujung 70-an dan awal 80-an lagi.

Tranformasi pengubahsuaian sukan ini hanyalah tertumpu kepada peralatan-peralatan sukan yang diguna pakai serta bersesuaian dengan saiz kanak-kanak.

Pengubahsuaian terhadap sesuatu jenis sukan mendorong setiap golongan umur untuk mencubanya.

Jika dibandingkan, sebilangan sukan yang dimainkan pada masa kini kebanyakannya telah diubahsuai dari segi peralatan, peraturan dan sebagainya.

Antaranya sebahagian sukan yang telah diubah suai ialah seperti bola tampar pantai, futsal, mini bola keranjang, bola sepak 7 sebelah, ragbi 7 sebelah, ragbi sentuh dan sebagainya.

Apa itu Sukan Ubahsuai?

  • Masih sama dengan sukan asal
  • Telah dikhaskan supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan sukan tersebut. (Contohnya ; peringkat umur, kebolehan fizikal, status kesihatan, kemahiran serta pengalaman lampau).
  • Selamat untuk dimainkan dan masih mencabar.
  • Mempelajari sesuatu yang baru berkenaan dengan sesuatu sukan.
  • Aspek yang diubah untuk mencapai kesesuaian adalah seperti : – Peralatan – Kawasan Permainan – Masa Permainan – Peraturan Permainan – Pemilihan Pemain

Pencarian lanjutan membawa saya kepada beberapa maklumat tambahan iaitu:

  1. AFL (Australia Football League) Modified Gameswalau tak dijalankan di Malaysia tetapi mungkin boleh dijadikan panduan mereka ‘modified games’ tersendiri di sekolah.
  2. Creating Modified Games – nota dalam bentuk Slideshow oleh Larry Nelson, Ph.D, Department of Kinesiology, University of Texas Arlington. Nota kuliah yang berkaitan.
  3. Starting a Youth Soccer Modified Games Program By Coach Libby Rappolt

Bagaimana Modified Games boleh dijalankan di sekolah? Apakah jenis sukan yang sesuai diubah suai di dalam sekolah? Saya sendiri kurang arif. Maklumlah saya juga si ‘Tak-arif’. Tapi saya sengaja tulis pos ini sebagai peringatan dan juga mungkin sebagai rangsangan awal untuk mencari idea. Anda ada cadangan?

Cadangan saya pula, mungkin jika ada masa sesuai, pihak sekolah atau pihak PPD masing-masing ataupun kementerian sendiri menjalankan atau menganjur bengkel ‘Modified Games’ untuk guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Jika perlu pihak ISN boleh dijemput untuk memberikan kursus atau bengkel yang berkenaan. Cadangan sahaja. Saya ni, walaupun guru Prinsip Perakaunan sahaja, tetapi tetap juga ada perasaan ‘passionate’  untuk meningkatkan ilmu dalam perkara lain terutama kejurulatihan belia/remaja. Kalau ada peluanglah.

Tapi permainan ubahsuai ni bolehkah digabung dari pelbagai jenis sukan seperti kombinasi bola jaring dengan bola keranjang? Atau badminton dengan bola sepak? hehehe. KBKK ni.

Pekeliling Ikhtisas dan Surat berkaitan 1Murid 1Sukan

Berikut adalah naskah digital pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang berkaitan dengan program 1murid 1sukan.

  1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.16/2010 Pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) – dikeluarkan pada 01/12/2010

Surat Siaran berkaitan langsung dengan dasar 1M1S – AMAT PENTING!!!

  1. Jadual Pelaksanaan Program Sukan dan Permainan Sekolah Sepanjang Tahun – KP. BSSK.302-02/03/002(17) bertarikh 14 Januari 2010
  2. Penganjuran Program Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah – KP (BPSH-SPDK)201/005/02(38) bertarikh 19 Februari 2010

* Terima kasih kepada blog Cikgu Zuhairi Manong – saya terjumpa surat siaran ini dari blog beliau.

Download alternatif – sumber dari PPD Kota Tinggi

Hello dari dan untuk Si ‘Tak-arif’

Salam perpaduan. Siapa si ‘tak-arif’. Mungkin si TA tu sayalah juga. Maklumlah latar belakang mengesahkan saya cikgu yang tidak dilatih sebagai guru sukan, guru PJK mahupun jurulatih.

Tetapi bukan bodoh cuma tak arif. Sebagai lelaki yang membesar sehingga berjaya menjadi guru, memang suka bersukan. Antara sukan yang kerap diikuti sejak zaman kanak-kanak sudah tentulah bola sepak, badminton dan juga modified-sports (betul ke??) ‘polis-sentri’, galah panjang, dan permainan tradisional asia lain.

Okaylah. Mungkin ramai juga guru macam saya ni, walaupun minat sukan dan turut terlibat, tetapi taklah sampai tahu serba serbi. Maklumlah dulu-dulu sukan bukan keutamaan sekolah, jadi lebih banyak pengalaman bersukan adalah melalui aktiviti petang di kampung. Dulu pernah tinggal di Kampung Tanjung Aru Lama. Jadi kalau air surut, kami ramai-ramai, budak kampung akan turun ‘padang pasir’ main bola hingga ke senja. Kalau jadual pasang surut tak sesuai, maka kita semua gantung kasut, tak dapat main bola. Tapi di sekolah memang tak ada aktiviti sukan selain sukantara yang boleh diikuti. Hanya ‘star’ sekolah yang terpilih dan diberi perhatian. Tapi betul juga, takkanlah saya (masa budak dulu) boleh terpilih wakil sekolah kalau larian pun tak selaju mana, nak main bola pun, tak sehebat pelajar lain. So lebih banyak jadi penyokong setia dari menjadi pemain ‘star’. hehehe.

Apa-apapun, zaman dah berubah. Dan kini sejak diumumkan dalam bulan Mac 2010, tugas sekolah dikembangkan lagi dengan pengenalan dasar 1murid 1sukan. Dari maklumat yang dibaca, termasuklah pekeliling yang ada, adalah sedikit gambaran tentang apa itu 1M1S, tapi terus terang sajalah, masih tak jelas. Perkataan dalam pekeliling adalah perkataan formal dan umum memandangkan ia diwartakan untuk semua jenis sekolah, baik sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Maka kenalah ambil inisiatif mencari bahan bacaan lanjutan yang boleh menerangkan lebih lanjut tentang dasar ini dan apakah tugas saya sebagai guru atau bagaimana saya boleh menjalankan tugas menjayakan program 1Murid 1Sukan ini.

Jadi dipendekkan cerita, dari persia-siakan aktiviti ‘research’ yang saya buat sehingga kini tentang 1murid 1sukan ni dan apa-apa yang berkaitan dengannya, timbul idea untuk tulis blog ini sebagai tempat saya berkongsi hal ehwal sukan ini. Yalah, memandangkan dasar sukan 1murid 1sukan dah jadi tugas utama juga sepanjang tahun, maka jika dulu hanya tahu, maka saya termotivasi nak lagi tahu lagi dan lagi, dan nak menyumbang dengan lebih efisien berbanding dahulu.

Sebelum mana-mana individu salah faham, biar saya jelaskan yang saya ni guru penasihat kelab bola sepak, peminat Chelsea, penyokong bola sepak Liga Malaysia, minat pasukan Kelantan dan Kedah (alasan dalam pos akan datang) tapi menyokong Sabah Hawks (ni pun pos akan datang), dan suka main badminton, kalau ada masa dengan anak-anak jika dapat pulang awal (ni nak akan cerita hidup anak-anak pula juga di pos akan datang dan implikasinya kepada aktiviti sukan). Anak-anak di rumah dibelikan raket badminton sejak tahun lepas dan mulai bulan ini, si anak di tahun 3 dah bawa raket badminton dia sendiri untuk aktiviti badminton 1Murid 1Sukan di SK Kuala Papar setiap minggu. kalau tak silap hari khamis. Nak saya semak.

Apa-apapun, blog ini akan saya tulis secara spontan, tak formal dan cuba berkongsi pengalaman, pandangan, persepsi dan pemerhatian saya sebagai guru (tugas utama), sebagai ayah (client KPM pula) dan sebagai pemerhati luar (tengok apa yang difikirkan).