Maklumat 1 Murid 1 Sukan untuk Si 'Tak-arif'

Eliminate ignorance with curiousity

Komitmen guru kepada dasar Satu Murid Satu Sukan

Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) telah dilancarkan sejak 2010 sebagai tahun pengenalan dan sejak tahun 2011, pelaksanaannya menjadi wajib.

Persoalan pokok di sini, adakah ia dasar yang relevan kepada sekolah. Jawapannya ya, sudah pasti kerana ia dasar kementerian.

Persoalan lain adakah ia relevan kepada guru? Jawapannya tidak. Ia tidak relevan kepada guru. Ia adalah dasar khusus untuk murid sekolah. Dasar 1M1S merupakan satu usaha menggerakkan generasi muda negara supaya dapat bergerak aktif secara fizikal sambil memperoleh ilmu pengetahuan tentang sukan yang diceburi. Walau bagaimanapun, kejayaan perlaksanaan dasar 1M1S, memerlukan komitmen guru walaupun ia tidak relevan kepada individu guru itu. Buat sementara waktu, guru bukan berlatar belakangkan sukan (bukan guru opsyen PJK atau Sains Sukan) terpaksa diarahkan untuk melaksanakan dasar ini berlandaskan garis panduan yang ditentukan, bukannya berasaskan kemampuan sedia ada guru. Guru PJK dan guru Sains Sukan tidaklah seramai mana di sekolah-sekolah harian.

Jika guru tersebut tidak pernah dan tidak mengetahui sukan tertentu, beliau mesti, patut, tidak boleh tidak, bertanggungjawab menambah pengetahuan demi menjalankan tugas yang didasari oleh arahan peringkat atasan. Oleh itu soal dasar 1M1S mesti relevan secara langsung kepada individu guru tidak relevan juga. Atas dasar tugas rasmi, semua guru yang terbabit mesti menjalankan tugas TERMASUK menambah baik diri sendiri. Jika guru tersebut berdalih atau sengaja tidak bersungguh-sungguh, dikhuatiri beliau menjadi ‘duri dalam daging’ atau boleh juga dipanggil ‘sabotuer‘, sama ada beliau sedar atau tidak.

Murid tidak akan dapat menghayati dan menyempurnakan pengalaman hidup mereka dalam sukan pilihan kerana guru yang dipertanggungjawabkan tidak komited dan tidak bersungguh-sungguh atas alasan tidak munasabah. Mana mungkin kita guru menasihat murid supaya berani belajar subjek baru dan susah dan meneroka ilmu baru, pada masa yang sama kita sendiri bertindak tidak ikhlas dengan mengelak mendapatkan ilmu baru dan meneroka pengalaman baru pula. Bukankah itu ‘hipokrit’?

Apa-apapun artikel ini adalah wacana saya tanpa menyebut mana-mana individu secara khusus. Ia adalah juga satu muhasabah diri kerana saya juga kelompok guru bukan-sukan. Saya adalah guru yang meminati sukan bola sepak, badminton dan ragbi, tetapi pengalaman terbaik saya pernah perolehi hanyalah semasa di sekolah menengah dan di universiti. Di sekolah saya sempat mendapat peluang bermain ragbi walaupun badan kecil kurus. Bola sepak memang kerap bermain di kampung, dan di sekolah. Badminton? Pengalaman paling manis tetapi memalukan ialah ketika masih siswa di UPM. Saya, melalui pujukan rakan-rakan turut mendaftar sebagai peserta pertandingan badminton. Pusingan awal dah kalah, complete set! Sebabnya saya bukan pemain berkebolehan tinggi, sebaliknya hanyalah peminat.

Apa sumbangan pengalaman tersebut kepada saya sebagai guru 1M1S? NIL. Okaylah, mungkin setakat 10%, itupun dalam hal ada cerita untuk memujuk pelajar. Tapi tak semestinya berkesan. Bagaimana saya nak jalankan tugas sebagai guru 1M1S, menjadi jurulatih sukan bola sepak atau badminton atau ragbi? Nampaknya langkah-langkah berikut perlu saya lakukan seberapa segera yang boleh, iaitu:

1. Ikuti kursus kejurulatihan sukan yang saya pilih (atau sekolah tentukan) – BELUM

2. Cari buku bacaan berkaitan bagaimana melatih murid/pemain sukan tersebut – TIADA BUKU DIKEHENDAKI?

3. Dapatkan buku modul 1M1S yang disediakan kementerian – ADA melalui kursus tetapi isi kandungan tak cukup baik, dan tersalah cetak pula.

4. Dapatkan buku digital modul 1M1S yang disediakan kementerian – SUDAH ADA, tetapi bilangan muka surat yang banyak memerlukan bajet besar untuk mencetak kualiti boleh baca. Nak baca di laptop? Patutkah? Bukankah kita di padang. Cetak sedikit demi sedikit? Patutkan individu guru menampung kos cetakan buku tersebut dan dipancing dengan perkataan ‘pengorbanan’ (licik!).

5. Tak buat apa-apa langsung – MUSTAHIL, kerana saya guru komited kepada pelajar

6. Carian internet dalam bentuk video – CADANGAN TERBAIK SETAKAT INI! Memang video tak boleh bawa ke padang, tetapi sekurang-kurangnya melalui tontonan video memberi gambaran lebih jelas bagaimana nak buat aktiviti latihan sukan tersebut dan lakukannya semula di padang.

7. Beli Ipad atau tablet – ringan dan mobile. CADANGAN LAGI TERBAIK. Dengan syarat ada cukup wang, bolehlah beli tablet android + 3G. Boleh bawah tablet seperti Samsung Tab 10.1 atau Motorola Xoom 10.1 (android 3). bolehlah baca modul dalam format PDF dalam tablet dan juga boleh rujuk menonton video kejurulatihan terus melalui tablet tadi. Jadilah jurulatih serba boleh. Masalah? baca balik, kalau guru sendiri kurang faham, tunjukkan tablet tu kepada murid untuk mereka baca dan mungkin akan ada pelajar yang boleh bantu menjelaskannya. Takpun, ulang tayang video di youtube yang berkenaan lagi dan lagi dan lagi dan simulasikan atau tiru sahaja kaedah yang ditunjukkan di video tadi.

Akhir kata, saya bukan pandai, saya juga bukan buat-buat pandai. Artikel ini adalah pemikiran saya, muhasabah saya. Dalam Inggeris, ‘thinking loudly’ barangkali.

Jumpa lagi di dalam artikel akan datang.

Advertisements

Lagu Satu Murid Satu Sukan

Lirik Lagu Satu Murid Satu Sukan (1M 1S)

Semarakkan 1 murid 1 sukan

Bersatu kita wujudkan perpaduan

Tingkatkan kecemerlangan 1 bangsa malaysia

Berdisplin bersukan meningkatkan imej negara

Melahirkan bangsa sihat 1 malaysia

Demi mencapai wawasan negara

Semarakkan 1 murid 1 sukan

Menjadi contoh pelajar terbilang

Peningkatan ilmu dan beramal

1 murid 1 sukan terus cemerlang

Amalkan semangat kesukanan

Tingkatkan mutu  sukan malaysia

Semangat setiakawan amalan kita

Semoga rakyat makmur sejahtera malaysia

Berdisplin bersukan meningkatkan imej negara

Melahirkan bangsa sihat 1 malaysia

Demi mencapai wawasan negara

Semarakkan 1 murid 1 sukan

Menjadi contoh pelajar terbilang

Peningkatan ilmu dan beramal

1 murid 1 sukan terus cemerlang

Kita jayakan

 

Ciptaan: Abdul Razak Abd Rahman

—=———————————–=—

Muatturun fail MP3 (lagu dengan suara) di sini, atau di sini.

Lirik dan fail MP3 di petik dari sini.

Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia pada 2 Julai 2011 Berjaya

Acara Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia telah berjaya diadakan di seluruh negara pada 2 Julai 2011. Majlis Pelancaran Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia 2011 telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga selaku Menteri Pelajaran Malaysia, bertempat di Padang Esplanade, Taiping, Perak. Acara rasmi dijalankan seawal 7:30 pagi dan tamat sekitar pukul 9:00 pagi.

Juga dinyatakan bahawa acara ini mencipta sejarah dan rekod baru larian serentak terbesar di Malaysia. Rekod ini bakal dicatatkan dalam MALAYSIA BOOK of RECORDS.

Berikut adalah petikan dari UTUSAN ONLINE,

Larian 1Murid cipta rekod MBOR larian paling ramai

02/07/2011 2:07pm

TAIPING 2 Julai – Seramai 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak Satu Murid Satu Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan hari ini sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar.

Larian sempena majlis pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Dataran Perbandaran Taiping di sini pagi ini.

Selain penyertaan pelajar, guru dan ibu bapa, larian berkenaan turut berlangsung serentak di 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah Kolej Matrikulasi seluruh negara.

Pada majlis pelancaran di sini, Timbalan Perdana Menteri melepaskan 15,000 peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari sekitar Taiping.

Larian tersebut bermula pada 7.45 pagi dan para peserta seluruh negara berlari sejauh 1.5 kilometer (km) manakala peserta di Taiping berlari pada jarak 1.85 km di sekitar Taman Tasik Taiping.

Penyertaan 4,137,126 peserta itu dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar dan diisytiharkan sebagai rekod baru oleh Diana Paul dari MBR dalam kategori larian serentak.

Larian serentak terbesar yang direkodkan MBR sebelum ini ialah larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2000 dengan penyertaan 2.3 juta peserta.

Turut menyertai Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam larian pagi tadi ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dalam ucapan semasa merasmikan program tersebut, Muhyiddin turut menekankan bahawa sukan merupakan satu platform dalam pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah murid-murid selain membentuk integrasi nasional.

“Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah, setiap guru dan kakitangan sekolah,” katanya.

Larian berkenaan bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Kementerian sebelum itu mengumumkan hari larian berkenaan boleh dijadikan sebagai hari persekolahan oleh sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, kerana selain acara larian itu, sekolah juga hendaklah mengadakan aktiviti pendidikan seperti hari persekolahan biasa. – Bernama

Maklumat dan arahan dari Bahagian Sukan, Kementerian Pelajara Malaysia adalah seperti berikut:

LARIAN SERENTAK 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA SELURUH NEGARA Tarikh : 02 Julai 2011 (Sabtu)
Masa : 7.45 pagi
Tempat : Ditentukan oleh sekolah masing-masing
Sasaran : Semua murid, guru, staf sokongan, ibu bapa, ahli keluarga, ahli masyarakat setempat dan lain-lain yang berminat.Pelancaran peringkat kebangsaan akan diadakan di Padang Dataran Perbandaran (Padang Esplanade), Taiping, Perak Darul Ridzuan.Sila serahkan borang pendaftaran murid yang lengkap melalui e-mel pada atau sebelum 1 Julai 2011kepada alamat e-mel yang ditetapkan seperti di Panduan Pelaksanaan. Borang Pengesahan bilangan sebenar yang menyertai Larian Serentak 1Murid 1Sukan dan gambar serta video berkaitan hendaklah dihantar selepas acara larian  pada atau sebelum 08 Julai 2011.Untuk maklumat lanjut sila rujuk kepada Panduan Pelaksanaan seperti yang tertera di bawah:
BORANG PENYERTAAN (NEGERI DAN PERINGKAT KEBANGSAAN)
KATEGORI PESERTA
Murid/Pelajar
Guru/Pensyarah
Ibubapa/PIBG
Bahagian (Kementerian Pelajaran Malaysia)
Lain-lain/Individu

Panduan Pelaksanaan
Contoh No Peserta (21 cm x 15 cm)
Tatacara Pelaporan
Contoh : Banner  |   Banting
Tempat Pelancaran Larian Serentak Peringkat JPN
Tek Ucapan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri
Pemakluman Surat Siaran Pelaksanaan dan Kemudahan Cuti Gantian
**format : [PDF] | [JPEG : Muka surat 1, Muka Surat 2, Muka Surat 3]

Untuk makluman, bahan grafik dan promosi  (banner, banting dan sebagainya) untuk Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia telah dibekalkan dalam bentuk CD kepada setiap Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri.

Sijil Penyertaan boleh dimuat turun di Portal BS mulai 8 Julai 2011.

……………………………………………………………………………………………………………………….

SENARAI TALIAN PEGAWAI BERTANGGUNGJAWAB
Sila e-mel maklumat penyertaan mengikut e-mel negeri seperti yang terpapar di bawah:

NEGERI (JPN) PEGAWAI NO TELEFON (Pejabat)
Perlis , Kedah, Pulau Pinang, Perak Pn Noorawati binti A.Rahim
perlis1m1s@gmail.com
kedah1m1s@gmail.com
pp1m1s@gmail.com
perak1m1s@gmail.com
03 8884 1337
Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan Pn Susila binti Ahmad
selangor1m1s@gmail.com
klumpur1m1s@gmail.com
putrajaya1m1s@gmail.com
n91m1s@gmail.com
03 8884 1331
Melaka, Johor, Pahang, Terengganu Cik Maizura binti Haron
-melaka1m1s@gmail.com
johor1m1s@gmail.com
pahang1m1s@gmail.com
terengganu1m1s@gmail.com
03 8884 1330
Kelantan, Sabah, Sarawak, Labuan Cik Norhikmah binti Tauhid
kelantan1m1s@gmail.com
sabah1m1s@gmail.com
-sarawak1m1s@gmail.com
labuan1m1s@gmail.com
03 8884 1006
Sekretariat En Mohd Jazmi bin Abd Jalil
-sekretariat@gmail.com
03 8884 1135

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi atau emel kepada En. Ismail Ibrahim,ISMAILIBRAHIM@moe.gov.my / 03-88841032.

LINK RASMI di sini.

Semoga dasar 1M1S ini akan menjadi wadah kepada perkembangan positif pelajar-pelajar dalam pembentukansahsiah, kesihatan dan sosial mereka.

Modul Latihan Sukan Untuk Penasihat Kelab Sukan

Berikut adalah LINK buku Modul Latihan Sukan terbitan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia.

LINK Muka surat Muatturun di BSKPM adalah di sini.

Setakat 3 Julai 2011, modul latihan sukan berikut boleh diperoleh:

————————–00000000————————–

Modul Latihan Sukan Untuk Penasihat Kelab Sukan – muatturun langsung dari BSKPM secara percuma.
(Tarikh di nyatakan adalah tarikh mula modul disiarkan secara langsung dari laman sesawang rasmi BSKPM)
Sepak Takraw Sekolah Rendah 06/20/2011
Sepak Takraw Sekolah Menengah 06/20/2011

Ping Pong Sekolah Rendah 05/11/2011
Ping Pong Sekolah Menengah05/11/2011

Olahraga Sekolah Rendah 06/20/2011
Olahraga Sekolah Menengah 06/20/2011

Hoki Sekolah Rendah 06/20/2011
Hoki Sekolah Menengah 06/20/2011

Bola Tampar Sekolah Rendah 06/20/2011
Bola Tampar Sekolah Menengah 06/20/2011

Bola Sepak Sekolah Rendah 05/11/2011
Bola Sepak Sekolah Menengah 05/11/2011

Bola Keranjang Sekolah Rendah 06/20/2011
Bola Keranjang Sekolah Menengah 06/20/2011

Bola Jaring Sekolah Rendah 06/21/2011
Bola Jaring Sekolah Menengah 06/21/2011

Bola Baling Sekolah Rendah 06/20/2011
Bola Baling Sekolah Menengah 06/20/2011

Badminton Sekolah Rendah 06/20/2011
Badminton Sekolah Menengah 06/20/2011

TERKINI : Modul terbaharu tahun 2012

Nota : Modul terbaharu boleh digunakan oleh kedua-dua sekolah rendah dan sekolah menengah

Futsal Sekolah Menengah/Sekolah Rendah – 11/15/2012
Gimnastik Sekolah Menengah/Sekolah Rendah
– 11/15/2012
Ragbi Sekolah Menengah/Sekolah Rendah
– 11/15/2012
Sofbol Sekolah Menengah/Sekolah Rendah
– 11/15/2012

————————–00000000————————–

Diharap senarai ringkas di atas membantu semua pihak berkepentingan dalam mencari bahan cetak tersebut.

Tambahan :

Untuk muatturun SEMUA MODUL di atas, berikut adalah LINK fail dalam format ZIP.

Koleksi Modul Latihan Sukan 1M1S – 10 Sukan Teras:
[ SEKOLAH RENDAH ][ SEKOLAH MENENGAH ]

Saya berterima kasih kepada pihak sekolah dan PPD Penampang kerana telah memilih saya mengikuti Kursus Jurulatih Daerah Modul Latihan Sukan  1Murid 1Sukan Peringkat Daerah Penampang pada 4 hingga 6 Julai 2011 baru-baru ini.

MAKLUMAN PENTING

Saya turut menerima senaskah modul latihan bola sepak bercetak. Tetapi nampaknya, salinan PDF di atas lebih kemas kini dan kurang ralat berbanding modul latihan sukan yang diedarkan dalam kursus tersebut.

Oleh itu, suka untuk saya menyarankan kepada rakan-rakan sekursus (mahupun individu lain yang berminat) untuk mencetak modul latihan yang dimuatturun di atas. Malahan, jika pihak guru bercadang ingin memperbanyakkan cetakan untuk diedarkan kepada guru-guru lain di sekolah, lebih baik gunakan cetakan baru dari PDF di atas. Contohnya, dalam modul latihan sukan bola sepak yang diagihkan dalam kursus, didapati Undang-undang bola sepak No. 12 hingga 17 tidak ada. Sebaliknya dalam modul latihan sukan bola sepak di atas, Undang-undang bola sepak no. 1 hingga 17 ada.

Semoga rakan-rakan mendapat manfaat dari maklumat ini. Sekian.

Buku Panduan Lengkap Pelaksanaan 1M1S diperlukan segera

Saya mengikuti perkembangan Dasar 1M1S sepanjang masa, sebagai ayah mahupun sebagai guru.

Masih tertanya-tanya bilakah buku panduan lengkap dapat disediakan di laman sesawang MOE? Setakat ini, hanya dua naskhah yang telah diterbitkan. Sila lawat mukasurat ini untuk memuatturun. Sebagai guru, saya masih tertunggu-tunggu manakah naskhah baharu akan diterbitkan. Saya teringat janji pihak Bahagian Sukan KPM untuk mengeluarkan atau menerbitkan buku panduan berkaitan permainan atau  sukan-sukan yang tertentu yang lain.

Setakat ini, saya teruskan aktiviti bola sepak Liga Piala Pengetua SMK Putatan berpandukan ilmu sedia ada di samping membuat pembacaan pelbagai bahan cetak dan juga pencarian bahan melalui internet. Adakah kejohanan anjuran Kelab Bola sepak kami boleh dianggap aktiviti 1Murid 1Sukan?

Saya harap begitu. Alangkah bagus jika ada buku rasmi dari pihak KPM supaya saya lebih yakin.

 

Persoalan 1M1S yang perlukan jawapan segera

Jika ada sesiapa yang boleh bantu kami mendapatkan jawapan bagi beberapa perkara berikut:

1. Adakah pertandingan MESTI antara kelas sahaja?

2. Apakah bentuk kerjasama antara pihak sekolah dan pihak luar yang dibenarkan oleh KPM? Bagaimana jika kerjasama itu termasuklah sponsorship pihak swasta?

Ada lagi beberapa soalan tetapi, memandangkan ini pertama kali saya menulis pertanyaan, saya simpan dahulu soalan lain.

Anda yang lain yang ingin turut bertanya atau memberi jawapan bolehlah tinggalkan komen di sini.

Bahan Publisiti Dasar 1 Murid 1 Sukan

Sejak menonton rancangan KAFE SUKAN di Astro Arena minggu lepas, iaitu selepas mengikuti segmen 1Murid 1Sukan yang dibicarakan oleh host bersama dengan Pengarah Bahagian Sukan KPM, Puan Ee Hong, dan Timbalan Pengarah beliau, saya amat tertarik dengan banner 1M1S yang dipasang semasa mereka ditemubual.

Susulan dari itu, saya berminat untuk mencari apa-apa bahan publisiti berupa grafik, bahan cetak, video, atau apa jua bahan yang boleh saya dapatkan dan kongsi. Mana tahu ia sesuai digunakan di sekolah kami.

Setakat ini adalah beberapa bahan yang saya fikirkan sesuai dan boleh dijadikan contoh bahan publisiti.

Poster – sumber : http://smkgelangpatah.com/images/stories/1murid1sukan21.jpg

Mungkin boleh minta kebenaran kot dicetak balik sebagai poster untuk dilekatkan di papan-papan kenyataan sekolah kami juga (dengan ubah suai).

Kalau ada sesiapa terjumpa bahan-bahan publisiti lain, mohon tinggalkan link dalam ruangan komen di bawah. Tolong ya supaya pos ini sentiasa dapat dikemaskini.

Aktiviti Sukan untuk sekolah rendah anak saya belajar

Perhatian : MODE TULISAN : SEORANG AYAH – sebagai klien kepada KPM

Ini adalah persoalan yang timbul, bukan sahaja kerana saya guru tetapi juga kerana saya ayah kepada anak yang masih bersekolah di sekolah rendah. Persoalannya ialah, “APAKAH JENIS SUKAN PALING SESUAI UNTUK SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR BERSAIZ KECIL?”

Sekolah tempat anak saya belajar, SK Kuala Papar, adalah sebuah sekolah bersaiz kecil dengan padang permainan yang kecil. Boleh dikatakan saiz padang yang ada di hadapan bangunan batu setinggi 3 tingkat dan bangunan kilat kontena hanyalah sebesar 1/3 saiz padang bola sepak piawai. Sebelum saya mengajak anda membaca terus, izinkan saya ceritakan sedikit tentang anak saya.

Anak saya memilih sukan badminton sebagai aktiviti ko-kurikulum, mungkin sebab tahun lepas lagi kami dah belikan dia raket badminton dan bulu tangkis. Sebenarnya kami (suami-isteri) telah membeli 2 buah raket badminton untuk kedua-dua anak kami walaupun adiknya belum pun boleh bermain badminton. Tapi ia sengaja kerana ia sebagai galakan. Itu adalah keputusan sebagai bapa dan ibu. Anak saya walaupun baru tahun 3 amat teruja untuk terlibat dalam aktiviti sebegitu. Bukan itu sahaja, ia begitu ingin memahami apa itu ‘kokum’, istilah rosak yang guru-guru selalu guna. Saya beritahu dia, ayat betul ialah ko kurikulum. Ayat kokum tu cikgu-cikgu selalu pakai tapi salah, kata saya. Saya terangkan lagi yang ko kurikulum tu iaitu aktiviti di luar darjah yang semua murid wajib ikuti. Nak juga beri definisi lebih lanjut tapi tak sampai hati pula. Anak saya juga memilih unit beruniform Tunas Puteri (ahah, dah tahu dah kan anak saya perempuan). Siap nak minta beli uniform secepat mungkin. Saya kata lepas gaji nanti bapa beli. Harap-harap cuti tahun baru cina ini ada kedai yang menjual uniform badan beruniform buka.

Dipendekkan cerita, anak saya memang gembira, bangga dan teruja yang amat sangat dengan aktiviti ko kurikulum ni. Markah A+ untuk guru-guru SK Kuala Papar (baik siapa pun dia) yang berjaya memberi motivasi positif kepada anak saya. Lega rasanya sebagai bapa. Begitu juga siibu.

Berbalik kepada isu apakah sukan yang sesuai untuk aktiviti sekolah rendah luar bandar yang kecil. Saya melihat sekolah di kampung kami sebagai contoh perbincangan. Saya berharap guru besar mahupun guru-guru di SK Kg. Kuala Papar tak kisah.

Sebagai ayah yang kebetulannya seorang guru, perasaan sensitif terhadap rakan guru tetap ada. Empati tetap tinggi. Apa taknya, berbanding dengan SK di sekolah dalam bandar terutama di Selangor dan Kuala Lumpur, fasiliti yang ada amat terbatas. Saya berpendapat dan percaya, mahu tak mahu guru besar dan staf guru terpaksa memilih mana-mana sukan yang menggunakan ruangan kecil tetapi masih sesuai dipilih untuk program 1 murid 1 sukan.Sukan bola sepak padang tak sesuai kecuali ia diubahsuai.

Jika ada dewan, badminton pun okay. Tetapi sekolah anak saya tak ada dewan. Timbul kesedaran ini. Improvisasi amat penting di sini. Kalau tak ada dewan untuk badminton tetapi kedudukan sekolah memungkinkan tiupan angin tidak mengganggu, maka aktiviti badminton masih sesuai juga dijalankan sebagai sukan luar bangunan. Masalahnya ialah akan ramai pelajar yang turun ke padang untuk bermain sukan yang ditentukan guru. Dalam contoh sukan pilihan anak saya iaitu badminton, sebagai ahli PIBG sekolah, saya tegaskan di sini, kami tahu bahawa sekolah itu tidak ada dewan. Tetapi pelajar SR tahun 3 (anak saya salah seorang darinya) tidak wajib bersukan tetapi digalakkan seperti dalam buku panduan yang telah dibaca. Jadi sebagai ayah, saya melihat aktiviti badminton di SR tidak memerlukan perancangan aktiviti bersifat kompetitif. Mungkin di SR, guru akan mulakan dengan melatih kawalan raket dan bulu tangkis, teknik pergerakan dan dari semasa ke semasa mendedahkan anak-anak murid dengan peraturan badminton. Maka sebab itu barangkali sekolah memilih aktiviti sukan badminton untuk aktiviti 1M1S. Saya rasa ia sudah memadai juga. Lagipun membeli raket badminton masih lebih murah berbanding membeli peralatan sukan lain. Tinggal lagi cabaran guru-guru terlibat ialah mengagihkan ruang terhad sekolah untuk aktiviti badminton antara kumpulan pelajar. Jika ada aktiviti sukan lain yang sepatutnya berjalan serentak, lagilah parah kerana saya tahu SK Kg. Kuala mempunyai ruang amat terhad. Selain dari itu, anak-anak kampung, termasuk anak saya, hadir sesi persekolahan kedua pula di sebelah petang. Majoriti anak-anak di Kg. Kuala dan kampung berdekatan belajar di sekolah agama (SAR). Ini bermakna, pelajar sesi pagi tak akan dapat hadir di sebelah petang untuk aktiviti 1M1S kerana mereka akan ke SAR pula di sebelah petang dari pukul 2:00 hingga 5:00 petang setiap hari, dari hari Isnin hingga ke Jumaat.

Jadi ia tidak memungkinkan aktiviti sukan 1M1S dilaksanakan mengikut ketetapan dalam buku panduan. Sebagai ayah dan ahli PIBG, saya akan berdiri teguh di belakang guru SK kerana terpaksa membuat keputusan menjalankan aktiviti 1M1S di dalam waktu persekolahan iaitu sesi pagi untuk pelajar sesi pagi. Cuma lagi kesannya ialah waktu tamat persekolahan dilewatkan melepasi pukul 1:15 tengah hari kecuali hari Jumaat. Jadual ini termasuklah kelas Tasmik. Anak-anak terpaksa bergegas pulang, mandi, makan tengah hari dan terus bergegas pula ke sekolah agama. Ini adalah dilema kepada ibu bapa dan mungkin juga guru yang sensitif kepada kebajikan anak-anak yang baru membesar itu. Masih perlu difikirkan lebih lanjut barangkali.

Hmm, panjang pula tulisan saya ini. Beginilah, saya tak hairan jika kebanyakan aktiviti sukan di sekolah rendah yang mempunyai fasiliti terhad dan bersaiz kecil seperti SK Kuala Papar terpaksa, sama ada dengan sedar atau tanpa sedar, akan mengaplikasikan pendekatan yang fleksibel. Sebenarnya ada banyak permainan ubahsuai yang boleh digunakan. Contohnya,  untuk permainan bola sepak, jika tak ada padang besar, maka perlawanan seperti bola sepak 5 sebelah dengan gol kecil sudah memadai.

Saya berharap mana-mana pihak terutamanya Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengeluarkan modul atau garis panduan permainan ubahsuai yang komprehensif untuk kegunaan dan rujukan utama guru. Sebagai ayah, saya mahukan anak-anak saya benar-benar mendapat manfaat dari aktiviti 1 murid 1 sukan. Bukan sahaja dari aspek kecergasan dan kesihatan, tetapi saya juga mahukan anak saya tahu dan dari tahun ke tahun berpengetahuan luas tentang sukan yang diceburi. Saya mahu anak saya bukan sahaja tahu cara memegang raket badminton yang betul, pemilihan raket yang sesuai, tetapi juga cara memukul bola dengan baik dan kemas, mengetahui bagaimana mengelakkan kecederaan dalam sukan badminton dan yang paling penting, tahu asas undang-undang dan peraturan yang ada tentang sukan itu. Kalaupun mungkin anak saya membesar tetapi dapat menjadi Datuk Lee Chong Wei pun, menjadi penyokong sukan badminton yang berpengetahuan pun sudah mencukupi. Jika program 1M1S ini sekadar untuk bermain, mengeluarkan peluh tetapi tidak menjadikan anak saya bertambah pengetahuan tentang sukan, dari setahun ke setahun, dari sekolah rendah ke sekolah menengah, maka sebagai bapa saya anggap ia mengecewakan.

Bercakap tentang hal itu, saya juga berjanji pada diri saya sendiri, di sekolah saya bertugas, saya juga akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar yang kurang arif tentang bola sepak, dari tak tahu kepada tahu, supaya saya tidak mempersiakan masa terluang kami (guru dan pelajar-pelajar) yang kena hadir ke sekolah di sebelah petang.

NOTIS : Tulisan pos ini adalah dari kaca mata seorang ayah. Jika ada pembaca yang juga bekerja di KPM, ingatlah ia adalah harapan seorang ayah sebagai klien KPM juga dan tidak sekali-kali merendahkan dasar dan tugas guru. sebaliknya ia turut menjadi refleksi diri supaya tidak hanya ‘sekadar menjalankan tugas’ tanpa berfikir, bertoleransi dan empati kepada anak didik serta inginkan yang terbaik.

Apa itu ‘Modified Games’?

Saya tertarik dengan perkataan ‘Modified Games’. Perkataan tersebut boleh dijumpai di muka surat 25, BUKU PANDUAN 1MURID 1SUKAN sebagai salah satu jenis sukan yang sesuai dengan dasar 1 Murid 1 Sukan. Pencarian internet membawa saya ke laman sesawang Institut Sukan Negara dan berikut adalah maklumat yang saya salin semula.

Pengenalan kepada sukan ubahsuai telah dilaksanakan bermula pada hujung 70-an dan awal 80-an lagi.

Tranformasi pengubahsuaian sukan ini hanyalah tertumpu kepada peralatan-peralatan sukan yang diguna pakai serta bersesuaian dengan saiz kanak-kanak.

Pengubahsuaian terhadap sesuatu jenis sukan mendorong setiap golongan umur untuk mencubanya.

Jika dibandingkan, sebilangan sukan yang dimainkan pada masa kini kebanyakannya telah diubahsuai dari segi peralatan, peraturan dan sebagainya.

Antaranya sebahagian sukan yang telah diubah suai ialah seperti bola tampar pantai, futsal, mini bola keranjang, bola sepak 7 sebelah, ragbi 7 sebelah, ragbi sentuh dan sebagainya.

Apa itu Sukan Ubahsuai?

  • Masih sama dengan sukan asal
  • Telah dikhaskan supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan sukan tersebut. (Contohnya ; peringkat umur, kebolehan fizikal, status kesihatan, kemahiran serta pengalaman lampau).
  • Selamat untuk dimainkan dan masih mencabar.
  • Mempelajari sesuatu yang baru berkenaan dengan sesuatu sukan.
  • Aspek yang diubah untuk mencapai kesesuaian adalah seperti : – Peralatan – Kawasan Permainan – Masa Permainan – Peraturan Permainan – Pemilihan Pemain

Pencarian lanjutan membawa saya kepada beberapa maklumat tambahan iaitu:

  1. AFL (Australia Football League) Modified Gameswalau tak dijalankan di Malaysia tetapi mungkin boleh dijadikan panduan mereka ‘modified games’ tersendiri di sekolah.
  2. Creating Modified Games – nota dalam bentuk Slideshow oleh Larry Nelson, Ph.D, Department of Kinesiology, University of Texas Arlington. Nota kuliah yang berkaitan.
  3. Starting a Youth Soccer Modified Games Program By Coach Libby Rappolt

Bagaimana Modified Games boleh dijalankan di sekolah? Apakah jenis sukan yang sesuai diubah suai di dalam sekolah? Saya sendiri kurang arif. Maklumlah saya juga si ‘Tak-arif’. Tapi saya sengaja tulis pos ini sebagai peringatan dan juga mungkin sebagai rangsangan awal untuk mencari idea. Anda ada cadangan?

Cadangan saya pula, mungkin jika ada masa sesuai, pihak sekolah atau pihak PPD masing-masing ataupun kementerian sendiri menjalankan atau menganjur bengkel ‘Modified Games’ untuk guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Jika perlu pihak ISN boleh dijemput untuk memberikan kursus atau bengkel yang berkenaan. Cadangan sahaja. Saya ni, walaupun guru Prinsip Perakaunan sahaja, tetapi tetap juga ada perasaan ‘passionate’  untuk meningkatkan ilmu dalam perkara lain terutama kejurulatihan belia/remaja. Kalau ada peluanglah.

Tapi permainan ubahsuai ni bolehkah digabung dari pelbagai jenis sukan seperti kombinasi bola jaring dengan bola keranjang? Atau badminton dengan bola sepak? hehehe. KBKK ni.

Maklumat Tambahan tentang 1Murid 1Sukan

Dari pencarian atau penyelidikan (research) yang saya lakukan secara online, berikut adalah bahan-bahan pelbagai jenis media untuk rujukan si ‘Tak-arif’:

Persembahan Slaid PowerPoint

  1. Slaid Taklimat Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) terbitan Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia

——————————————

Setakat ini yang terjumpa. Jika ada lagi link dijumpai, akan dikemas kini dalam pos ini.