Maklumat 1 Murid 1 Sukan untuk Si 'Tak-arif'

Eliminate ignorance with curiousity

Category Archives: Jenis Sukan 1M1S

Rencana tentang sukan Ultimate Frisbee

Sumber asal rencana di sini.

Saya copy-paste di sini untuk tujuan penyimpanan.

Uji kecekapan tangkap cakera


 

SUASANA padang Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sama seperti waktu-waktu petang lain. Ia penuh dengan para penuntut yang beriadah. Ada yang bermain hoki, bola jaring mahupun bola sepak, malah tidak kurang juga yang hanya menjadi penonton setia di tepi-tepi padang sambil berbual dan mencuci mata.

Kehadiran beberapa objek piring persis objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di udara tidak diendahkan.

Objek seperti piring berterbangan pada setiap petang itu adalah fenomena yang lazim dilihat. Ia bukan UFO yang sinonim dikaitkan dengan makhluk asing tetapi ia adalah frisbee. Permainan itu dikenali sebagai Ultimate Frisbee.

Hakikatnya, sukan itu agak asing di Malaysia kerana tidak ramai yang mengetahuinya.

Namun, sukan yang agak popular di Lembah Klang itu semakin berkembang di Malaysia pada momentum yang sederhana.

Ia dimainkan dengan cakera frisbee seberat 175 gram, berdiameter antara 20 hingga 25 sentimeter iaitu saiz yang mengikut piawaian antarabangsa. Bahannya pula diperbuat daripada plastik.

Penentuan mata sukan ini berdasarkan penyerahan cakera frisbee kepada pemain sehingga sampai ke zon hujung (end zone) pihak lawan sama seperti American Football atau ragbi.

Musim panas

KECEKAPAN menangkap cakera frisbee sangat penting bagi mengelakkan lemparan bertukar tangan kepada pihak lawan.

 

Sukan Ultimate Frisbee bermula pada tahun 1968 apabila seorang pelajar, Joel Silver yang menuntut di Columbia High School, Maplewood, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) mencadangkan pada majlis pelajar sekolahnya supaya mewujudkan pasukan frisbee sekolah.

Kemudian ia mula dimainkan oleh sekumpulan pelajar pada musim panas. Silver belajar mengenai sukan ini apabila mengikuti kem musim panas di Northfield Mount Hermon, Massachusetts daripada seorang guru di situ iaitu Jared Kass.

Sukan ini menggunakan objek umpama piring yang dinamakan mydisc atau discraft. Ia lebih dikenali dengan nama frisbee dalam kalangan masyarakat umum.

“Sukan Ultimate Frisbee ini memerlukan tujuh orang pemain dalam satu pasukan. Ia mempunyai dua kategori iaitu single gender seperti terbuka lelaki dan terbuka wanita dan kategori terbuka campuran,” kata Donny Man, 25, yang merupakan jurulatih pasukan Ultimate Frisbee UiTM, Shah Alam, All Ultimate Reject (AUR).

Di Malaysia, penglibatan wanita dalam sukan Ultimate Frisbee masih kurang.

Donny yang merupakan bekas pelajar UiTM Shah Alam yang juga mantan kapten pasukan AUR memberitahu, bagi kategori campuran, nisbah pemain lelaki dan wanita adalah empat lelaki dan tiga wanita.

Sukan yang mengambil masa satu jam ini dimainkan selama 30 minit dan tempoh rehat lima minit sebelum baki 30 minit permainan bermula semula. Namun, ia tertakluk pada peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur kerana adakalanya tiada waktu rehat.

Pasukan Ultimate Frisbee di Lembah Klang kebanyakannya adalah daripada pasukan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Gelanggang atau padangnya berbentuk segi empat tepat sama seperti sukan American Football. Ia terdiri daripada kawasan jaringan gol di penghujung padang iaitu zon hujung (end zone).

Garisan gol adalah garis yang memisahkan kawasan permainan dari kawasan end zone yang merupakan kawasan untuk mendapatkan mata. Setiap end zone perlu ditandakan dengan kon.

“Cara permainannya juga lebih kurang sama, cuma dalam sukan ini seseorang pemain itu perlu menangkap cakera frisbee daripada rakan sepasukannya dan berada di dalam end zone bagi mendapatkan mata berbanding American Football yang memerlukan seseorang pemain itu membawa bola sambil berlari sebelum melakukan touch down,” ujarnya.

Frisbee merupakan sukan unik kerana ia adalah gabungan American Football, ragbi dan bola jaring. Selepas seseorang itu menangkap cakera frisbee, dia tidak dibenarkan berganjak atau berlari dan hanya boleh melakukan gerakan seperti permainan bola jaring.

“Seseorang pemain itu perlu melemparkan cakera frisbee pada rakan sepasukannya dalam kiraan sepuluh yang dibilang oleh pihak lawan yang berada dekat dengannya, jika gagal cakera frisbee akan berpindah kepada pihak lawan.

“Berbanding sukan lain, sukan ini tiada pengadil kerana ia dimainkan dengan semangat Spirit Of The Game (SOTG),” jelas pemuda yang berasal dari Sarawak ini.

Setiap pemain yang berjaya menyambut frisbee di end zone akan mendapat satu mata. Pasukan yang menang akan ditentukan dengan jumlah markah tertinggi selepas masa permainan tamat.

Dibantu kapten

PEMAIN dalam sukan ini dilarang membuat sebarang sentuhan ke atas pemain lain dan bermain dengan semangat Spirit Of The Game.

 

Setiap pemain tahu peranan masing-masing dan menghormati pihak lawan tanpa perlu berlaku pergaduhan.

Walaupun timbul salah faham, dua pemain yang terlibat akan menyelesaikan secara baik tanpa campur tangan pemain-pemain lain.

Andai kata masalah tersebut tidak diselesaikan, kapten kedua-dua pasukan akan membantu tetapi keputusan tetap di tangan pemain yang terlibat.

“Jika gagal juga, khidmat pemerhati diperlukan untuk membantu menyelesaikan masalah, namun keputusan bukan di tangannya.

“Sukan ini adalah sukan tanpa sentuhan (non contact). Jika ada pemain melakukan sentuhan pada masa yang sama mahu merampas frisbee daripada tangan pemain pasukan lawan, ia dikira fault dan pemain yang ditepis itu yang akan menjerit fault untuk memberitahu dirinya disentuh,” kata Donny sambil menunjukkan demonstrasi mengenai situasi tersebut sambil dibantu kapten pasukan AUR, Ramlan Muhammad Rashid, 21.

Tidak seperti sukan bola sepak, bola jaring, American Football mahupun ragbi yang permainannya dimulakan di bahagian tengah, sukan ini bermula pada hujung padang yang dinamakan end zone dengan melakukan lemparan pemula (pull) ke end zone pasukan lawan untuk disambut oleh lawan sebelum pasukan pihak lawan naik ke end zone pasukan bertahan untuk mendapatkan mata.

Pasukan yang berjaya mendapatkan mata akan memulakan permainan dengan membuat pull.

“Sama seperti permainan lain, Ultimate Frisbee juga mempunyai posisi tertentu. Terdapat tiga posisi dalam permainan ini iaitu handler, mid dan deep.

“Biasanya posisi handler dimainkan oleh pemain yang merupakan pembaling terbaik, mid pula merupakan pemain tengah yang mengacah pihak lawan untuk mendapatkan frisbee manakala deep pula bertindak sebagai penerima cakera frisbee. Biasanya posisi deep diberi kepada pemain yang cekap menangkap dan bijak membaca pergerakan cakera frisbee,” kata Ramlan.

Cakera frisbee akan bertukar tangan pada pihak lawan (turn over) dengan beberapa cara. Pertama, apabila berlakunya interset iaitu apabila pihak lawan berjaya menangkap dan menjatuhkan cakera frisbee yang berada di udara.

Kedua, apabila seseorang pemain itu tersalah baling cakera frisbee kepada pihak lawan dan ketiga, ketika seseorang pemain yang cuba untuk menangkap cakera frisbee tetapi cakera tersebut terjatuh ke tanah (biasanya berlaku kepada pemain amatur).

“Terdapat tiga teknik lemparan cakera frisbee iaitu pukulan kilas (backhand), pukulan depan (forehand) dan hantaran atas kepala dengan kedudukan cakera frisbee menegak (hammer).

“Sentuhan badan tidak dibenarkan,” ujar Ramlan yang merupakan penuntut semester ketiga, Ijazah Sains Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

CAKERA frisbee yang digunakan selaras dengan standard antarabangsa iaitu 175 gram. – Gambar hiasan.

 

Kepantasan dan kecergasan diperlukan oleh seseorang pemain kerana sukan ini memerlukan seseorang itu berlari pantas selain mempunyai kecekapan menerima dan melempar cakera frisbee selain bergantung kepada strategi permainan.

Berjinak-jinak

“Cabaran permainan ini ialah apabila terpaksa bermain dalam keadaan angin kuat, hujan dan panas.

“Sesuatu perlawanan hanya akan dihentikan apabila berlaku kilat dan petir kerana khuatir keadaan tidak diingini berlaku,” katanya sambil memberitahu fizikal yang tinggi merupakan satu kelebihan kepada seseorang pemain.

Seorang pemain AUR wanita, Norkadijah Md. Isa, 25, memberitahu, dia mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut sejak tahun 2007 atas ajakan rakan-rakannya.

Sebelum berkecimpung dalam Ultimate Frisbee, Norkadijah yang sebelum ini menuntut di UiTM Arau, Perlis aktif dalam sukan bola jaring dan olahraga.

“Peluang untuk bermain bola jaring dan olahraga di sini sukar kerana banyak saingan, jadi saya mengambil keputusan mencuba sukan ini kerana ia membolehkan saya mengaplikasikan sukan olahraga dan bola jaring dalam masa yang sama.

“Sehingga kini saya pernah bermain posisi deep dan mid. Namun, selepas mengalami kecederaan pada lutut, larian saya agak terbatas. Sehubungan itu, saya giat berlatih untuk menggalas posisi sebagai handler pula,” katanya yang kini bermain pada posisi mid dalam AUR.

Dalam pada itu, salah seorang pemain AUR, Dickson Sittie, 23, mula serius dalam sukan tersebut pada tahun lalu walaupun mula bermain Ultimate Frisbee pada tahun 2006.

Dia yang sebelum ini aktif bermain bola, sepak takraw dan olahraga tertarik dengan sukan ini kerana ia menggabungkan beberapa jenis sukan dan tiada pengadil berbanding sukan-sukan lain.

“Saya sudah bermain untuk semua posisi. Bagi saya semua posisi sama pentingnya kerana semuanya perlu bergandingan untuk bermain dengan baik bagi memenangi sesuatu perlawanan,” ujarnya.

 

Advertisements

Aktiviti Sukan untuk sekolah rendah anak saya belajar

Perhatian : MODE TULISAN : SEORANG AYAH – sebagai klien kepada KPM

Ini adalah persoalan yang timbul, bukan sahaja kerana saya guru tetapi juga kerana saya ayah kepada anak yang masih bersekolah di sekolah rendah. Persoalannya ialah, “APAKAH JENIS SUKAN PALING SESUAI UNTUK SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR BERSAIZ KECIL?”

Sekolah tempat anak saya belajar, SK Kuala Papar, adalah sebuah sekolah bersaiz kecil dengan padang permainan yang kecil. Boleh dikatakan saiz padang yang ada di hadapan bangunan batu setinggi 3 tingkat dan bangunan kilat kontena hanyalah sebesar 1/3 saiz padang bola sepak piawai. Sebelum saya mengajak anda membaca terus, izinkan saya ceritakan sedikit tentang anak saya.

Anak saya memilih sukan badminton sebagai aktiviti ko-kurikulum, mungkin sebab tahun lepas lagi kami dah belikan dia raket badminton dan bulu tangkis. Sebenarnya kami (suami-isteri) telah membeli 2 buah raket badminton untuk kedua-dua anak kami walaupun adiknya belum pun boleh bermain badminton. Tapi ia sengaja kerana ia sebagai galakan. Itu adalah keputusan sebagai bapa dan ibu. Anak saya walaupun baru tahun 3 amat teruja untuk terlibat dalam aktiviti sebegitu. Bukan itu sahaja, ia begitu ingin memahami apa itu ‘kokum’, istilah rosak yang guru-guru selalu guna. Saya beritahu dia, ayat betul ialah ko kurikulum. Ayat kokum tu cikgu-cikgu selalu pakai tapi salah, kata saya. Saya terangkan lagi yang ko kurikulum tu iaitu aktiviti di luar darjah yang semua murid wajib ikuti. Nak juga beri definisi lebih lanjut tapi tak sampai hati pula. Anak saya juga memilih unit beruniform Tunas Puteri (ahah, dah tahu dah kan anak saya perempuan). Siap nak minta beli uniform secepat mungkin. Saya kata lepas gaji nanti bapa beli. Harap-harap cuti tahun baru cina ini ada kedai yang menjual uniform badan beruniform buka.

Dipendekkan cerita, anak saya memang gembira, bangga dan teruja yang amat sangat dengan aktiviti ko kurikulum ni. Markah A+ untuk guru-guru SK Kuala Papar (baik siapa pun dia) yang berjaya memberi motivasi positif kepada anak saya. Lega rasanya sebagai bapa. Begitu juga siibu.

Berbalik kepada isu apakah sukan yang sesuai untuk aktiviti sekolah rendah luar bandar yang kecil. Saya melihat sekolah di kampung kami sebagai contoh perbincangan. Saya berharap guru besar mahupun guru-guru di SK Kg. Kuala Papar tak kisah.

Sebagai ayah yang kebetulannya seorang guru, perasaan sensitif terhadap rakan guru tetap ada. Empati tetap tinggi. Apa taknya, berbanding dengan SK di sekolah dalam bandar terutama di Selangor dan Kuala Lumpur, fasiliti yang ada amat terbatas. Saya berpendapat dan percaya, mahu tak mahu guru besar dan staf guru terpaksa memilih mana-mana sukan yang menggunakan ruangan kecil tetapi masih sesuai dipilih untuk program 1 murid 1 sukan.Sukan bola sepak padang tak sesuai kecuali ia diubahsuai.

Jika ada dewan, badminton pun okay. Tetapi sekolah anak saya tak ada dewan. Timbul kesedaran ini. Improvisasi amat penting di sini. Kalau tak ada dewan untuk badminton tetapi kedudukan sekolah memungkinkan tiupan angin tidak mengganggu, maka aktiviti badminton masih sesuai juga dijalankan sebagai sukan luar bangunan. Masalahnya ialah akan ramai pelajar yang turun ke padang untuk bermain sukan yang ditentukan guru. Dalam contoh sukan pilihan anak saya iaitu badminton, sebagai ahli PIBG sekolah, saya tegaskan di sini, kami tahu bahawa sekolah itu tidak ada dewan. Tetapi pelajar SR tahun 3 (anak saya salah seorang darinya) tidak wajib bersukan tetapi digalakkan seperti dalam buku panduan yang telah dibaca. Jadi sebagai ayah, saya melihat aktiviti badminton di SR tidak memerlukan perancangan aktiviti bersifat kompetitif. Mungkin di SR, guru akan mulakan dengan melatih kawalan raket dan bulu tangkis, teknik pergerakan dan dari semasa ke semasa mendedahkan anak-anak murid dengan peraturan badminton. Maka sebab itu barangkali sekolah memilih aktiviti sukan badminton untuk aktiviti 1M1S. Saya rasa ia sudah memadai juga. Lagipun membeli raket badminton masih lebih murah berbanding membeli peralatan sukan lain. Tinggal lagi cabaran guru-guru terlibat ialah mengagihkan ruang terhad sekolah untuk aktiviti badminton antara kumpulan pelajar. Jika ada aktiviti sukan lain yang sepatutnya berjalan serentak, lagilah parah kerana saya tahu SK Kg. Kuala mempunyai ruang amat terhad. Selain dari itu, anak-anak kampung, termasuk anak saya, hadir sesi persekolahan kedua pula di sebelah petang. Majoriti anak-anak di Kg. Kuala dan kampung berdekatan belajar di sekolah agama (SAR). Ini bermakna, pelajar sesi pagi tak akan dapat hadir di sebelah petang untuk aktiviti 1M1S kerana mereka akan ke SAR pula di sebelah petang dari pukul 2:00 hingga 5:00 petang setiap hari, dari hari Isnin hingga ke Jumaat.

Jadi ia tidak memungkinkan aktiviti sukan 1M1S dilaksanakan mengikut ketetapan dalam buku panduan. Sebagai ayah dan ahli PIBG, saya akan berdiri teguh di belakang guru SK kerana terpaksa membuat keputusan menjalankan aktiviti 1M1S di dalam waktu persekolahan iaitu sesi pagi untuk pelajar sesi pagi. Cuma lagi kesannya ialah waktu tamat persekolahan dilewatkan melepasi pukul 1:15 tengah hari kecuali hari Jumaat. Jadual ini termasuklah kelas Tasmik. Anak-anak terpaksa bergegas pulang, mandi, makan tengah hari dan terus bergegas pula ke sekolah agama. Ini adalah dilema kepada ibu bapa dan mungkin juga guru yang sensitif kepada kebajikan anak-anak yang baru membesar itu. Masih perlu difikirkan lebih lanjut barangkali.

Hmm, panjang pula tulisan saya ini. Beginilah, saya tak hairan jika kebanyakan aktiviti sukan di sekolah rendah yang mempunyai fasiliti terhad dan bersaiz kecil seperti SK Kuala Papar terpaksa, sama ada dengan sedar atau tanpa sedar, akan mengaplikasikan pendekatan yang fleksibel. Sebenarnya ada banyak permainan ubahsuai yang boleh digunakan. Contohnya,  untuk permainan bola sepak, jika tak ada padang besar, maka perlawanan seperti bola sepak 5 sebelah dengan gol kecil sudah memadai.

Saya berharap mana-mana pihak terutamanya Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengeluarkan modul atau garis panduan permainan ubahsuai yang komprehensif untuk kegunaan dan rujukan utama guru. Sebagai ayah, saya mahukan anak-anak saya benar-benar mendapat manfaat dari aktiviti 1 murid 1 sukan. Bukan sahaja dari aspek kecergasan dan kesihatan, tetapi saya juga mahukan anak saya tahu dan dari tahun ke tahun berpengetahuan luas tentang sukan yang diceburi. Saya mahu anak saya bukan sahaja tahu cara memegang raket badminton yang betul, pemilihan raket yang sesuai, tetapi juga cara memukul bola dengan baik dan kemas, mengetahui bagaimana mengelakkan kecederaan dalam sukan badminton dan yang paling penting, tahu asas undang-undang dan peraturan yang ada tentang sukan itu. Kalaupun mungkin anak saya membesar tetapi dapat menjadi Datuk Lee Chong Wei pun, menjadi penyokong sukan badminton yang berpengetahuan pun sudah mencukupi. Jika program 1M1S ini sekadar untuk bermain, mengeluarkan peluh tetapi tidak menjadikan anak saya bertambah pengetahuan tentang sukan, dari setahun ke setahun, dari sekolah rendah ke sekolah menengah, maka sebagai bapa saya anggap ia mengecewakan.

Bercakap tentang hal itu, saya juga berjanji pada diri saya sendiri, di sekolah saya bertugas, saya juga akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar yang kurang arif tentang bola sepak, dari tak tahu kepada tahu, supaya saya tidak mempersiakan masa terluang kami (guru dan pelajar-pelajar) yang kena hadir ke sekolah di sebelah petang.

NOTIS : Tulisan pos ini adalah dari kaca mata seorang ayah. Jika ada pembaca yang juga bekerja di KPM, ingatlah ia adalah harapan seorang ayah sebagai klien KPM juga dan tidak sekali-kali merendahkan dasar dan tugas guru. sebaliknya ia turut menjadi refleksi diri supaya tidak hanya ‘sekadar menjalankan tugas’ tanpa berfikir, bertoleransi dan empati kepada anak didik serta inginkan yang terbaik.

Apa itu ‘Modified Games’?

Saya tertarik dengan perkataan ‘Modified Games’. Perkataan tersebut boleh dijumpai di muka surat 25, BUKU PANDUAN 1MURID 1SUKAN sebagai salah satu jenis sukan yang sesuai dengan dasar 1 Murid 1 Sukan. Pencarian internet membawa saya ke laman sesawang Institut Sukan Negara dan berikut adalah maklumat yang saya salin semula.

Pengenalan kepada sukan ubahsuai telah dilaksanakan bermula pada hujung 70-an dan awal 80-an lagi.

Tranformasi pengubahsuaian sukan ini hanyalah tertumpu kepada peralatan-peralatan sukan yang diguna pakai serta bersesuaian dengan saiz kanak-kanak.

Pengubahsuaian terhadap sesuatu jenis sukan mendorong setiap golongan umur untuk mencubanya.

Jika dibandingkan, sebilangan sukan yang dimainkan pada masa kini kebanyakannya telah diubahsuai dari segi peralatan, peraturan dan sebagainya.

Antaranya sebahagian sukan yang telah diubah suai ialah seperti bola tampar pantai, futsal, mini bola keranjang, bola sepak 7 sebelah, ragbi 7 sebelah, ragbi sentuh dan sebagainya.

Apa itu Sukan Ubahsuai?

  • Masih sama dengan sukan asal
  • Telah dikhaskan supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan sukan tersebut. (Contohnya ; peringkat umur, kebolehan fizikal, status kesihatan, kemahiran serta pengalaman lampau).
  • Selamat untuk dimainkan dan masih mencabar.
  • Mempelajari sesuatu yang baru berkenaan dengan sesuatu sukan.
  • Aspek yang diubah untuk mencapai kesesuaian adalah seperti : – Peralatan – Kawasan Permainan – Masa Permainan – Peraturan Permainan – Pemilihan Pemain

Pencarian lanjutan membawa saya kepada beberapa maklumat tambahan iaitu:

  1. AFL (Australia Football League) Modified Gameswalau tak dijalankan di Malaysia tetapi mungkin boleh dijadikan panduan mereka ‘modified games’ tersendiri di sekolah.
  2. Creating Modified Games – nota dalam bentuk Slideshow oleh Larry Nelson, Ph.D, Department of Kinesiology, University of Texas Arlington. Nota kuliah yang berkaitan.
  3. Starting a Youth Soccer Modified Games Program By Coach Libby Rappolt

Bagaimana Modified Games boleh dijalankan di sekolah? Apakah jenis sukan yang sesuai diubah suai di dalam sekolah? Saya sendiri kurang arif. Maklumlah saya juga si ‘Tak-arif’. Tapi saya sengaja tulis pos ini sebagai peringatan dan juga mungkin sebagai rangsangan awal untuk mencari idea. Anda ada cadangan?

Cadangan saya pula, mungkin jika ada masa sesuai, pihak sekolah atau pihak PPD masing-masing ataupun kementerian sendiri menjalankan atau menganjur bengkel ‘Modified Games’ untuk guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Jika perlu pihak ISN boleh dijemput untuk memberikan kursus atau bengkel yang berkenaan. Cadangan sahaja. Saya ni, walaupun guru Prinsip Perakaunan sahaja, tetapi tetap juga ada perasaan ‘passionate’  untuk meningkatkan ilmu dalam perkara lain terutama kejurulatihan belia/remaja. Kalau ada peluanglah.

Tapi permainan ubahsuai ni bolehkah digabung dari pelbagai jenis sukan seperti kombinasi bola jaring dengan bola keranjang? Atau badminton dengan bola sepak? hehehe. KBKK ni.