Maklumat 1 Murid 1 Sukan untuk Si 'Tak-arif'

Eliminate ignorance with curiousity

Monthly Archives: Januari 2011

Bahan Publisiti Dasar 1 Murid 1 Sukan

Sejak menonton rancangan KAFE SUKAN di Astro Arena minggu lepas, iaitu selepas mengikuti segmen 1Murid 1Sukan yang dibicarakan oleh host bersama dengan Pengarah Bahagian Sukan KPM, Puan Ee Hong, dan Timbalan Pengarah beliau, saya amat tertarik dengan banner 1M1S yang dipasang semasa mereka ditemubual.

Susulan dari itu, saya berminat untuk mencari apa-apa bahan publisiti berupa grafik, bahan cetak, video, atau apa jua bahan yang boleh saya dapatkan dan kongsi. Mana tahu ia sesuai digunakan di sekolah kami.

Setakat ini adalah beberapa bahan yang saya fikirkan sesuai dan boleh dijadikan contoh bahan publisiti.

Poster – sumber : http://smkgelangpatah.com/images/stories/1murid1sukan21.jpg

Mungkin boleh minta kebenaran kot dicetak balik sebagai poster untuk dilekatkan di papan-papan kenyataan sekolah kami juga (dengan ubah suai).

Kalau ada sesiapa terjumpa bahan-bahan publisiti lain, mohon tinggalkan link dalam ruangan komen di bawah. Tolong ya supaya pos ini sentiasa dapat dikemaskini.

Aktiviti Sukan untuk sekolah rendah anak saya belajar

Perhatian : MODE TULISAN : SEORANG AYAH – sebagai klien kepada KPM

Ini adalah persoalan yang timbul, bukan sahaja kerana saya guru tetapi juga kerana saya ayah kepada anak yang masih bersekolah di sekolah rendah. Persoalannya ialah, “APAKAH JENIS SUKAN PALING SESUAI UNTUK SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR BERSAIZ KECIL?”

Sekolah tempat anak saya belajar, SK Kuala Papar, adalah sebuah sekolah bersaiz kecil dengan padang permainan yang kecil. Boleh dikatakan saiz padang yang ada di hadapan bangunan batu setinggi 3 tingkat dan bangunan kilat kontena hanyalah sebesar 1/3 saiz padang bola sepak piawai. Sebelum saya mengajak anda membaca terus, izinkan saya ceritakan sedikit tentang anak saya.

Anak saya memilih sukan badminton sebagai aktiviti ko-kurikulum, mungkin sebab tahun lepas lagi kami dah belikan dia raket badminton dan bulu tangkis. Sebenarnya kami (suami-isteri) telah membeli 2 buah raket badminton untuk kedua-dua anak kami walaupun adiknya belum pun boleh bermain badminton. Tapi ia sengaja kerana ia sebagai galakan. Itu adalah keputusan sebagai bapa dan ibu. Anak saya walaupun baru tahun 3 amat teruja untuk terlibat dalam aktiviti sebegitu. Bukan itu sahaja, ia begitu ingin memahami apa itu ‘kokum’, istilah rosak yang guru-guru selalu guna. Saya beritahu dia, ayat betul ialah ko kurikulum. Ayat kokum tu cikgu-cikgu selalu pakai tapi salah, kata saya. Saya terangkan lagi yang ko kurikulum tu iaitu aktiviti di luar darjah yang semua murid wajib ikuti. Nak juga beri definisi lebih lanjut tapi tak sampai hati pula. Anak saya juga memilih unit beruniform Tunas Puteri (ahah, dah tahu dah kan anak saya perempuan). Siap nak minta beli uniform secepat mungkin. Saya kata lepas gaji nanti bapa beli. Harap-harap cuti tahun baru cina ini ada kedai yang menjual uniform badan beruniform buka.

Dipendekkan cerita, anak saya memang gembira, bangga dan teruja yang amat sangat dengan aktiviti ko kurikulum ni. Markah A+ untuk guru-guru SK Kuala Papar (baik siapa pun dia) yang berjaya memberi motivasi positif kepada anak saya. Lega rasanya sebagai bapa. Begitu juga siibu.

Berbalik kepada isu apakah sukan yang sesuai untuk aktiviti sekolah rendah luar bandar yang kecil. Saya melihat sekolah di kampung kami sebagai contoh perbincangan. Saya berharap guru besar mahupun guru-guru di SK Kg. Kuala Papar tak kisah.

Sebagai ayah yang kebetulannya seorang guru, perasaan sensitif terhadap rakan guru tetap ada. Empati tetap tinggi. Apa taknya, berbanding dengan SK di sekolah dalam bandar terutama di Selangor dan Kuala Lumpur, fasiliti yang ada amat terbatas. Saya berpendapat dan percaya, mahu tak mahu guru besar dan staf guru terpaksa memilih mana-mana sukan yang menggunakan ruangan kecil tetapi masih sesuai dipilih untuk program 1 murid 1 sukan.Sukan bola sepak padang tak sesuai kecuali ia diubahsuai.

Jika ada dewan, badminton pun okay. Tetapi sekolah anak saya tak ada dewan. Timbul kesedaran ini. Improvisasi amat penting di sini. Kalau tak ada dewan untuk badminton tetapi kedudukan sekolah memungkinkan tiupan angin tidak mengganggu, maka aktiviti badminton masih sesuai juga dijalankan sebagai sukan luar bangunan. Masalahnya ialah akan ramai pelajar yang turun ke padang untuk bermain sukan yang ditentukan guru. Dalam contoh sukan pilihan anak saya iaitu badminton, sebagai ahli PIBG sekolah, saya tegaskan di sini, kami tahu bahawa sekolah itu tidak ada dewan. Tetapi pelajar SR tahun 3 (anak saya salah seorang darinya) tidak wajib bersukan tetapi digalakkan seperti dalam buku panduan yang telah dibaca. Jadi sebagai ayah, saya melihat aktiviti badminton di SR tidak memerlukan perancangan aktiviti bersifat kompetitif. Mungkin di SR, guru akan mulakan dengan melatih kawalan raket dan bulu tangkis, teknik pergerakan dan dari semasa ke semasa mendedahkan anak-anak murid dengan peraturan badminton. Maka sebab itu barangkali sekolah memilih aktiviti sukan badminton untuk aktiviti 1M1S. Saya rasa ia sudah memadai juga. Lagipun membeli raket badminton masih lebih murah berbanding membeli peralatan sukan lain. Tinggal lagi cabaran guru-guru terlibat ialah mengagihkan ruang terhad sekolah untuk aktiviti badminton antara kumpulan pelajar. Jika ada aktiviti sukan lain yang sepatutnya berjalan serentak, lagilah parah kerana saya tahu SK Kg. Kuala mempunyai ruang amat terhad. Selain dari itu, anak-anak kampung, termasuk anak saya, hadir sesi persekolahan kedua pula di sebelah petang. Majoriti anak-anak di Kg. Kuala dan kampung berdekatan belajar di sekolah agama (SAR). Ini bermakna, pelajar sesi pagi tak akan dapat hadir di sebelah petang untuk aktiviti 1M1S kerana mereka akan ke SAR pula di sebelah petang dari pukul 2:00 hingga 5:00 petang setiap hari, dari hari Isnin hingga ke Jumaat.

Jadi ia tidak memungkinkan aktiviti sukan 1M1S dilaksanakan mengikut ketetapan dalam buku panduan. Sebagai ayah dan ahli PIBG, saya akan berdiri teguh di belakang guru SK kerana terpaksa membuat keputusan menjalankan aktiviti 1M1S di dalam waktu persekolahan iaitu sesi pagi untuk pelajar sesi pagi. Cuma lagi kesannya ialah waktu tamat persekolahan dilewatkan melepasi pukul 1:15 tengah hari kecuali hari Jumaat. Jadual ini termasuklah kelas Tasmik. Anak-anak terpaksa bergegas pulang, mandi, makan tengah hari dan terus bergegas pula ke sekolah agama. Ini adalah dilema kepada ibu bapa dan mungkin juga guru yang sensitif kepada kebajikan anak-anak yang baru membesar itu. Masih perlu difikirkan lebih lanjut barangkali.

Hmm, panjang pula tulisan saya ini. Beginilah, saya tak hairan jika kebanyakan aktiviti sukan di sekolah rendah yang mempunyai fasiliti terhad dan bersaiz kecil seperti SK Kuala Papar terpaksa, sama ada dengan sedar atau tanpa sedar, akan mengaplikasikan pendekatan yang fleksibel. Sebenarnya ada banyak permainan ubahsuai yang boleh digunakan. Contohnya,  untuk permainan bola sepak, jika tak ada padang besar, maka perlawanan seperti bola sepak 5 sebelah dengan gol kecil sudah memadai.

Saya berharap mana-mana pihak terutamanya Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengeluarkan modul atau garis panduan permainan ubahsuai yang komprehensif untuk kegunaan dan rujukan utama guru. Sebagai ayah, saya mahukan anak-anak saya benar-benar mendapat manfaat dari aktiviti 1 murid 1 sukan. Bukan sahaja dari aspek kecergasan dan kesihatan, tetapi saya juga mahukan anak saya tahu dan dari tahun ke tahun berpengetahuan luas tentang sukan yang diceburi. Saya mahu anak saya bukan sahaja tahu cara memegang raket badminton yang betul, pemilihan raket yang sesuai, tetapi juga cara memukul bola dengan baik dan kemas, mengetahui bagaimana mengelakkan kecederaan dalam sukan badminton dan yang paling penting, tahu asas undang-undang dan peraturan yang ada tentang sukan itu. Kalaupun mungkin anak saya membesar tetapi dapat menjadi Datuk Lee Chong Wei pun, menjadi penyokong sukan badminton yang berpengetahuan pun sudah mencukupi. Jika program 1M1S ini sekadar untuk bermain, mengeluarkan peluh tetapi tidak menjadikan anak saya bertambah pengetahuan tentang sukan, dari setahun ke setahun, dari sekolah rendah ke sekolah menengah, maka sebagai bapa saya anggap ia mengecewakan.

Bercakap tentang hal itu, saya juga berjanji pada diri saya sendiri, di sekolah saya bertugas, saya juga akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar yang kurang arif tentang bola sepak, dari tak tahu kepada tahu, supaya saya tidak mempersiakan masa terluang kami (guru dan pelajar-pelajar) yang kena hadir ke sekolah di sebelah petang.

NOTIS : Tulisan pos ini adalah dari kaca mata seorang ayah. Jika ada pembaca yang juga bekerja di KPM, ingatlah ia adalah harapan seorang ayah sebagai klien KPM juga dan tidak sekali-kali merendahkan dasar dan tugas guru. sebaliknya ia turut menjadi refleksi diri supaya tidak hanya ‘sekadar menjalankan tugas’ tanpa berfikir, bertoleransi dan empati kepada anak didik serta inginkan yang terbaik.

Apa itu ‘Modified Games’?

Saya tertarik dengan perkataan ‘Modified Games’. Perkataan tersebut boleh dijumpai di muka surat 25, BUKU PANDUAN 1MURID 1SUKAN sebagai salah satu jenis sukan yang sesuai dengan dasar 1 Murid 1 Sukan. Pencarian internet membawa saya ke laman sesawang Institut Sukan Negara dan berikut adalah maklumat yang saya salin semula.

Pengenalan kepada sukan ubahsuai telah dilaksanakan bermula pada hujung 70-an dan awal 80-an lagi.

Tranformasi pengubahsuaian sukan ini hanyalah tertumpu kepada peralatan-peralatan sukan yang diguna pakai serta bersesuaian dengan saiz kanak-kanak.

Pengubahsuaian terhadap sesuatu jenis sukan mendorong setiap golongan umur untuk mencubanya.

Jika dibandingkan, sebilangan sukan yang dimainkan pada masa kini kebanyakannya telah diubahsuai dari segi peralatan, peraturan dan sebagainya.

Antaranya sebahagian sukan yang telah diubah suai ialah seperti bola tampar pantai, futsal, mini bola keranjang, bola sepak 7 sebelah, ragbi 7 sebelah, ragbi sentuh dan sebagainya.

Apa itu Sukan Ubahsuai?

  • Masih sama dengan sukan asal
  • Telah dikhaskan supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan sukan tersebut. (Contohnya ; peringkat umur, kebolehan fizikal, status kesihatan, kemahiran serta pengalaman lampau).
  • Selamat untuk dimainkan dan masih mencabar.
  • Mempelajari sesuatu yang baru berkenaan dengan sesuatu sukan.
  • Aspek yang diubah untuk mencapai kesesuaian adalah seperti : – Peralatan – Kawasan Permainan – Masa Permainan – Peraturan Permainan – Pemilihan Pemain

Pencarian lanjutan membawa saya kepada beberapa maklumat tambahan iaitu:

  1. AFL (Australia Football League) Modified Gameswalau tak dijalankan di Malaysia tetapi mungkin boleh dijadikan panduan mereka ‘modified games’ tersendiri di sekolah.
  2. Creating Modified Games – nota dalam bentuk Slideshow oleh Larry Nelson, Ph.D, Department of Kinesiology, University of Texas Arlington. Nota kuliah yang berkaitan.
  3. Starting a Youth Soccer Modified Games Program By Coach Libby Rappolt

Bagaimana Modified Games boleh dijalankan di sekolah? Apakah jenis sukan yang sesuai diubah suai di dalam sekolah? Saya sendiri kurang arif. Maklumlah saya juga si ‘Tak-arif’. Tapi saya sengaja tulis pos ini sebagai peringatan dan juga mungkin sebagai rangsangan awal untuk mencari idea. Anda ada cadangan?

Cadangan saya pula, mungkin jika ada masa sesuai, pihak sekolah atau pihak PPD masing-masing ataupun kementerian sendiri menjalankan atau menganjur bengkel ‘Modified Games’ untuk guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Jika perlu pihak ISN boleh dijemput untuk memberikan kursus atau bengkel yang berkenaan. Cadangan sahaja. Saya ni, walaupun guru Prinsip Perakaunan sahaja, tetapi tetap juga ada perasaan ‘passionate’  untuk meningkatkan ilmu dalam perkara lain terutama kejurulatihan belia/remaja. Kalau ada peluanglah.

Tapi permainan ubahsuai ni bolehkah digabung dari pelbagai jenis sukan seperti kombinasi bola jaring dengan bola keranjang? Atau badminton dengan bola sepak? hehehe. KBKK ni.

Maklumat Tambahan tentang 1Murid 1Sukan

Dari pencarian atau penyelidikan (research) yang saya lakukan secara online, berikut adalah bahan-bahan pelbagai jenis media untuk rujukan si ‘Tak-arif’:

Persembahan Slaid PowerPoint

  1. Slaid Taklimat Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) terbitan Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia

——————————————

Setakat ini yang terjumpa. Jika ada lagi link dijumpai, akan dikemas kini dalam pos ini.

Pekeliling Ikhtisas dan Surat berkaitan 1Murid 1Sukan

Berikut adalah naskah digital pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang berkaitan dengan program 1murid 1sukan.

  1. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.16/2010 Pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) – dikeluarkan pada 01/12/2010

Surat Siaran berkaitan langsung dengan dasar 1M1S – AMAT PENTING!!!

  1. Jadual Pelaksanaan Program Sukan dan Permainan Sekolah Sepanjang Tahun – KP. BSSK.302-02/03/002(17) bertarikh 14 Januari 2010
  2. Penganjuran Program Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah – KP (BPSH-SPDK)201/005/02(38) bertarikh 19 Februari 2010

* Terima kasih kepada blog Cikgu Zuhairi Manong – saya terjumpa surat siaran ini dari blog beliau.

Download alternatif – sumber dari PPD Kota Tinggi

Buku Panduan dari Bahagian Sukan KPM

Berikut adalah naskah digital buku-buku terbitan Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia yang berkaitan dengan program 1murid 1sukan.

  1. GARIS PANDUAN PENGURUSAN KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG (OLAHRAGA) – diterbitkan pada 16th December 2010
  2. BUKU PANDUAN 1MURID 1SUKAN – diterbitkan pada 17th January 2011
  3. Buku Pengurusan MSSM 2011 – diterbitkan sejak 03/29/2011 (ditambah pada 06 Julai 2011)
  4. Buku Panduan Pengurusan Kejohanan Balapan dan Padang (Olahraga) – diterbitkan sejak 03/29/2011 (ditambah pada 06 Julai 2011)

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Pos ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa sesuai dengan janji Bahagian Sukan, KPM untuk menerbitkan beberapa lagi naskah berbentuk Modul untuk kegunaan guru-guru penasihat.

Dikemas kini pada 06/07/2011

MENCARI MODUL LATIHAN SUKAN TERAS SPESIFIK? Cari di sini.

Hello dari dan untuk Si ‘Tak-arif’

Salam perpaduan. Siapa si ‘tak-arif’. Mungkin si TA tu sayalah juga. Maklumlah latar belakang mengesahkan saya cikgu yang tidak dilatih sebagai guru sukan, guru PJK mahupun jurulatih.

Tetapi bukan bodoh cuma tak arif. Sebagai lelaki yang membesar sehingga berjaya menjadi guru, memang suka bersukan. Antara sukan yang kerap diikuti sejak zaman kanak-kanak sudah tentulah bola sepak, badminton dan juga modified-sports (betul ke??) ‘polis-sentri’, galah panjang, dan permainan tradisional asia lain.

Okaylah. Mungkin ramai juga guru macam saya ni, walaupun minat sukan dan turut terlibat, tetapi taklah sampai tahu serba serbi. Maklumlah dulu-dulu sukan bukan keutamaan sekolah, jadi lebih banyak pengalaman bersukan adalah melalui aktiviti petang di kampung. Dulu pernah tinggal di Kampung Tanjung Aru Lama. Jadi kalau air surut, kami ramai-ramai, budak kampung akan turun ‘padang pasir’ main bola hingga ke senja. Kalau jadual pasang surut tak sesuai, maka kita semua gantung kasut, tak dapat main bola. Tapi di sekolah memang tak ada aktiviti sukan selain sukantara yang boleh diikuti. Hanya ‘star’ sekolah yang terpilih dan diberi perhatian. Tapi betul juga, takkanlah saya (masa budak dulu) boleh terpilih wakil sekolah kalau larian pun tak selaju mana, nak main bola pun, tak sehebat pelajar lain. So lebih banyak jadi penyokong setia dari menjadi pemain ‘star’. hehehe.

Apa-apapun, zaman dah berubah. Dan kini sejak diumumkan dalam bulan Mac 2010, tugas sekolah dikembangkan lagi dengan pengenalan dasar 1murid 1sukan. Dari maklumat yang dibaca, termasuklah pekeliling yang ada, adalah sedikit gambaran tentang apa itu 1M1S, tapi terus terang sajalah, masih tak jelas. Perkataan dalam pekeliling adalah perkataan formal dan umum memandangkan ia diwartakan untuk semua jenis sekolah, baik sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Maka kenalah ambil inisiatif mencari bahan bacaan lanjutan yang boleh menerangkan lebih lanjut tentang dasar ini dan apakah tugas saya sebagai guru atau bagaimana saya boleh menjalankan tugas menjayakan program 1Murid 1Sukan ini.

Jadi dipendekkan cerita, dari persia-siakan aktiviti ‘research’ yang saya buat sehingga kini tentang 1murid 1sukan ni dan apa-apa yang berkaitan dengannya, timbul idea untuk tulis blog ini sebagai tempat saya berkongsi hal ehwal sukan ini. Yalah, memandangkan dasar sukan 1murid 1sukan dah jadi tugas utama juga sepanjang tahun, maka jika dulu hanya tahu, maka saya termotivasi nak lagi tahu lagi dan lagi, dan nak menyumbang dengan lebih efisien berbanding dahulu.

Sebelum mana-mana individu salah faham, biar saya jelaskan yang saya ni guru penasihat kelab bola sepak, peminat Chelsea, penyokong bola sepak Liga Malaysia, minat pasukan Kelantan dan Kedah (alasan dalam pos akan datang) tapi menyokong Sabah Hawks (ni pun pos akan datang), dan suka main badminton, kalau ada masa dengan anak-anak jika dapat pulang awal (ni nak akan cerita hidup anak-anak pula juga di pos akan datang dan implikasinya kepada aktiviti sukan). Anak-anak di rumah dibelikan raket badminton sejak tahun lepas dan mulai bulan ini, si anak di tahun 3 dah bawa raket badminton dia sendiri untuk aktiviti badminton 1Murid 1Sukan di SK Kuala Papar setiap minggu. kalau tak silap hari khamis. Nak saya semak.

Apa-apapun, blog ini akan saya tulis secara spontan, tak formal dan cuba berkongsi pengalaman, pandangan, persepsi dan pemerhatian saya sebagai guru (tugas utama), sebagai ayah (client KPM pula) dan sebagai pemerhati luar (tengok apa yang difikirkan).