Maklumat 1 Murid 1 Sukan untuk Si 'Tak-arif'

Eliminate ignorance with curiousity

Aktiviti Sukan untuk sekolah rendah anak saya belajar

Perhatian : MODE TULISAN : SEORANG AYAH – sebagai klien kepada KPM

Ini adalah persoalan yang timbul, bukan sahaja kerana saya guru tetapi juga kerana saya ayah kepada anak yang masih bersekolah di sekolah rendah. Persoalannya ialah, “APAKAH JENIS SUKAN PALING SESUAI UNTUK SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR BERSAIZ KECIL?”

Sekolah tempat anak saya belajar, SK Kuala Papar, adalah sebuah sekolah bersaiz kecil dengan padang permainan yang kecil. Boleh dikatakan saiz padang yang ada di hadapan bangunan batu setinggi 3 tingkat dan bangunan kilat kontena hanyalah sebesar 1/3 saiz padang bola sepak piawai. Sebelum saya mengajak anda membaca terus, izinkan saya ceritakan sedikit tentang anak saya.

Anak saya memilih sukan badminton sebagai aktiviti ko-kurikulum, mungkin sebab tahun lepas lagi kami dah belikan dia raket badminton dan bulu tangkis. Sebenarnya kami (suami-isteri) telah membeli 2 buah raket badminton untuk kedua-dua anak kami walaupun adiknya belum pun boleh bermain badminton. Tapi ia sengaja kerana ia sebagai galakan. Itu adalah keputusan sebagai bapa dan ibu. Anak saya walaupun baru tahun 3 amat teruja untuk terlibat dalam aktiviti sebegitu. Bukan itu sahaja, ia begitu ingin memahami apa itu ‘kokum’, istilah rosak yang guru-guru selalu guna. Saya beritahu dia, ayat betul ialah ko kurikulum. Ayat kokum tu cikgu-cikgu selalu pakai tapi salah, kata saya. Saya terangkan lagi yang ko kurikulum tu iaitu aktiviti di luar darjah yang semua murid wajib ikuti. Nak juga beri definisi lebih lanjut tapi tak sampai hati pula. Anak saya juga memilih unit beruniform Tunas Puteri (ahah, dah tahu dah kan anak saya perempuan). Siap nak minta beli uniform secepat mungkin. Saya kata lepas gaji nanti bapa beli. Harap-harap cuti tahun baru cina ini ada kedai yang menjual uniform badan beruniform buka.

Dipendekkan cerita, anak saya memang gembira, bangga dan teruja yang amat sangat dengan aktiviti ko kurikulum ni. Markah A+ untuk guru-guru SK Kuala Papar (baik siapa pun dia) yang berjaya memberi motivasi positif kepada anak saya. Lega rasanya sebagai bapa. Begitu juga siibu.

Berbalik kepada isu apakah sukan yang sesuai untuk aktiviti sekolah rendah luar bandar yang kecil. Saya melihat sekolah di kampung kami sebagai contoh perbincangan. Saya berharap guru besar mahupun guru-guru di SK Kg. Kuala Papar tak kisah.

Sebagai ayah yang kebetulannya seorang guru, perasaan sensitif terhadap rakan guru tetap ada. Empati tetap tinggi. Apa taknya, berbanding dengan SK di sekolah dalam bandar terutama di Selangor dan Kuala Lumpur, fasiliti yang ada amat terbatas. Saya berpendapat dan percaya, mahu tak mahu guru besar dan staf guru terpaksa memilih mana-mana sukan yang menggunakan ruangan kecil tetapi masih sesuai dipilih untuk program 1 murid 1 sukan.Sukan bola sepak padang tak sesuai kecuali ia diubahsuai.

Jika ada dewan, badminton pun okay. Tetapi sekolah anak saya tak ada dewan. Timbul kesedaran ini. Improvisasi amat penting di sini. Kalau tak ada dewan untuk badminton tetapi kedudukan sekolah memungkinkan tiupan angin tidak mengganggu, maka aktiviti badminton masih sesuai juga dijalankan sebagai sukan luar bangunan. Masalahnya ialah akan ramai pelajar yang turun ke padang untuk bermain sukan yang ditentukan guru. Dalam contoh sukan pilihan anak saya iaitu badminton, sebagai ahli PIBG sekolah, saya tegaskan di sini, kami tahu bahawa sekolah itu tidak ada dewan. Tetapi pelajar SR tahun 3 (anak saya salah seorang darinya) tidak wajib bersukan tetapi digalakkan seperti dalam buku panduan yang telah dibaca. Jadi sebagai ayah, saya melihat aktiviti badminton di SR tidak memerlukan perancangan aktiviti bersifat kompetitif. Mungkin di SR, guru akan mulakan dengan melatih kawalan raket dan bulu tangkis, teknik pergerakan dan dari semasa ke semasa mendedahkan anak-anak murid dengan peraturan badminton. Maka sebab itu barangkali sekolah memilih aktiviti sukan badminton untuk aktiviti 1M1S. Saya rasa ia sudah memadai juga. Lagipun membeli raket badminton masih lebih murah berbanding membeli peralatan sukan lain. Tinggal lagi cabaran guru-guru terlibat ialah mengagihkan ruang terhad sekolah untuk aktiviti badminton antara kumpulan pelajar. Jika ada aktiviti sukan lain yang sepatutnya berjalan serentak, lagilah parah kerana saya tahu SK Kg. Kuala mempunyai ruang amat terhad. Selain dari itu, anak-anak kampung, termasuk anak saya, hadir sesi persekolahan kedua pula di sebelah petang. Majoriti anak-anak di Kg. Kuala dan kampung berdekatan belajar di sekolah agama (SAR). Ini bermakna, pelajar sesi pagi tak akan dapat hadir di sebelah petang untuk aktiviti 1M1S kerana mereka akan ke SAR pula di sebelah petang dari pukul 2:00 hingga 5:00 petang setiap hari, dari hari Isnin hingga ke Jumaat.

Jadi ia tidak memungkinkan aktiviti sukan 1M1S dilaksanakan mengikut ketetapan dalam buku panduan. Sebagai ayah dan ahli PIBG, saya akan berdiri teguh di belakang guru SK kerana terpaksa membuat keputusan menjalankan aktiviti 1M1S di dalam waktu persekolahan iaitu sesi pagi untuk pelajar sesi pagi. Cuma lagi kesannya ialah waktu tamat persekolahan dilewatkan melepasi pukul 1:15 tengah hari kecuali hari Jumaat. Jadual ini termasuklah kelas Tasmik. Anak-anak terpaksa bergegas pulang, mandi, makan tengah hari dan terus bergegas pula ke sekolah agama. Ini adalah dilema kepada ibu bapa dan mungkin juga guru yang sensitif kepada kebajikan anak-anak yang baru membesar itu. Masih perlu difikirkan lebih lanjut barangkali.

Hmm, panjang pula tulisan saya ini. Beginilah, saya tak hairan jika kebanyakan aktiviti sukan di sekolah rendah yang mempunyai fasiliti terhad dan bersaiz kecil seperti SK Kuala Papar terpaksa, sama ada dengan sedar atau tanpa sedar, akan mengaplikasikan pendekatan yang fleksibel. Sebenarnya ada banyak permainan ubahsuai yang boleh digunakan. Contohnya,  untuk permainan bola sepak, jika tak ada padang besar, maka perlawanan seperti bola sepak 5 sebelah dengan gol kecil sudah memadai.

Saya berharap mana-mana pihak terutamanya Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengeluarkan modul atau garis panduan permainan ubahsuai yang komprehensif untuk kegunaan dan rujukan utama guru. Sebagai ayah, saya mahukan anak-anak saya benar-benar mendapat manfaat dari aktiviti 1 murid 1 sukan. Bukan sahaja dari aspek kecergasan dan kesihatan, tetapi saya juga mahukan anak saya tahu dan dari tahun ke tahun berpengetahuan luas tentang sukan yang diceburi. Saya mahu anak saya bukan sahaja tahu cara memegang raket badminton yang betul, pemilihan raket yang sesuai, tetapi juga cara memukul bola dengan baik dan kemas, mengetahui bagaimana mengelakkan kecederaan dalam sukan badminton dan yang paling penting, tahu asas undang-undang dan peraturan yang ada tentang sukan itu. Kalaupun mungkin anak saya membesar tetapi dapat menjadi Datuk Lee Chong Wei pun, menjadi penyokong sukan badminton yang berpengetahuan pun sudah mencukupi. Jika program 1M1S ini sekadar untuk bermain, mengeluarkan peluh tetapi tidak menjadikan anak saya bertambah pengetahuan tentang sukan, dari setahun ke setahun, dari sekolah rendah ke sekolah menengah, maka sebagai bapa saya anggap ia mengecewakan.

Bercakap tentang hal itu, saya juga berjanji pada diri saya sendiri, di sekolah saya bertugas, saya juga akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar yang kurang arif tentang bola sepak, dari tak tahu kepada tahu, supaya saya tidak mempersiakan masa terluang kami (guru dan pelajar-pelajar) yang kena hadir ke sekolah di sebelah petang.

NOTIS : Tulisan pos ini adalah dari kaca mata seorang ayah. Jika ada pembaca yang juga bekerja di KPM, ingatlah ia adalah harapan seorang ayah sebagai klien KPM juga dan tidak sekali-kali merendahkan dasar dan tugas guru. sebaliknya ia turut menjadi refleksi diri supaya tidak hanya ‘sekadar menjalankan tugas’ tanpa berfikir, bertoleransi dan empati kepada anak didik serta inginkan yang terbaik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: